Politik

Tiga penjuru atau berpenjuru-juru di Melaka?

Barisan Nasional dikepalai Umno sah tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya negeri Melaka.

Ini bermakna akan berlaku pertandingan tiga penjuru di semua 28 kerusi dewan undangan negeri dan kemungkinan besar juga akan berlaku pertembungan lebih tiga penjuru.

Selain BN perlu menghadapi Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, mereka perlu berdepan calon Bebas.

Terlebih dahulu kita lihat dahulu fakta dan nombor:

Beberapa fakta yang diketahui setakat ini :

1. BN bertanding 28 kerusi. PN pun bertanding 28 kerusi.

2. PRU 14, ketika itu PAS bertanding 24 kerusi. Kalah semua.

3. PRU 14, Bersatu bertanding 6 kerusi. Menang dua di Paya Rumput dan Telok Mas.

PRU 14, UMNO bertanding 18 kerusi dan menang 13 kerusi DUN Melaka, kalah lima.

4. Perikatan Nasional akan meletakkan 5 Calon daripada Parti Gerakan, 8 Calon daripada Parti PAS dan Bersatu akan bertanding 15 kerusi DUN.

Kuncinya kini ialah siapa calon yang bertanding dan siapa calon ketua menteri?

Jika Umno dan BN tersilap memilih calon dan mengetepikan penyandang, maka akan berlakulah pertandingan empat penjuru kerana penyandang sudah pasti akan bertanding atas tiket Bebas.

Dalam senario politik semasa calon Bebas lebih bernilai apabila kerajaan gagal negeri gagal dibentuk kerana tiada parti yang mampu memenangi 15 kerusi untuk majoriti mudah.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa penyandang biasanya lebih popular dan sangat disayangi musuh Umno.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah menyatakan pihaknya akan meletakkan ramai muka baharu.

Dan jika itu berlaku, pertembungan empat penjuru atau lebih akan berlaku di kebanyakan kawasan.

Melaka memang kubu kuat Umno, ketika sokongan berada paling rendah pada pilihan raya umum lalu, parti itu masih mampu menang 13 kerusi dan kali ini Umno yakin mampu menang 15 kerusi.

Itu cakap-cakap para pemimpin Umno yang yakin rakyat mendambakan parti itu selepas 22 bulan diperintah PH.

Bagaimana pula jika rakyat sudah muak dengan Umno kerana pemimpinnya sering bercakaran dan buktinya berapa banyak kerajaan negeri tumbang hingga ke pusat dan kini di Melaka, semuanya kerana percakaran pemimpin Umno?

Pada masa yang sama rakyat juga telah merasai 17 bulan di bawah payung Perikatan Nasional yang lebih harmoni, proakrif dan progresif.

Bahkan PN telah membuktikan kejayaan menangani krisis pandemik Covid-19, pada masa yang sama berhasil menggerakkan kembali ekonomi yang pegun.

Apabila memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PN, ia sebenarnya melegakan perikatan itu kerana mereka tidak perlu mengheret bagasi yang maha berat di pundak kebanyakan pemimpin Umno.

Ada yang telah didapati bersalah dengan tuduhan jenayah dan ramai sedang berdepan kes mahkamah.

Ini memudahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menawarkan sebuah kerajaan yang berintegriti iaitu bebas rasuah dan salah guna kuasa serta telus. Dan paling utama tidak akan campur tangan urusan mahkamah.

Ketika Umno terpalit dengan segala kejelekan, PN menawarkan sebuah kerajaan yang jeli.

Jika jelek jadi pilihan, terus jeleklah tanah air ini. Jadi terpulanglah kepada rakyat untuk memberi mandat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button