InTeam terbuka untuk berkolaborasi dengan sesiapa sahaja
KERJASAMA antara penyanyi nasyid bersama pemuzik bergenre yang lebih komersial sentiasa disambut baik dalam usaha untuk mengembangkan muzik nasyid.
Seorang daripada anggota kumpulan InTeam, Mohd Shahril Abd Khaled berkata, mereka sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan sesiapa sahaka.
“Sama seperti kita bekerjasama dengan penyanyi, Khai Bahar. Kita dapat luaskan lagi pendengar nasyid.
“Walaupun nasyid tidaklah semeriah dahulu tapi sambutan tetap ada terutamanya bila menjelang perayaan Islam,” katanya.
Ditanya berkenaan nasyid yang kini dianggap sebagai muzik bermusim, Mohd Shahril berkata perkara itu bergantung kepada masyarakat sendiri.
Jelasnya, apa yang penting sebenarnya ada penggiat nasyid itu kekal ada sehingga sekarang untuk menyampaikan nasihat dan pesan agama Islam kepada semua.
Dalam pada itu, In Team dengan kerjasama Pertubuhan Dhuafa Sejahtera turut menjalankan kerja-kerja dakwah dan kebajikan bersempena Mailudul Rasul SAW pada 24 Oktober lalu.
“Kita bermula pada pukul 9.30 pagi degan ceramah Maulidul Rasul SAW di Surau Nurul Iman, Bukit Saujana Utama, Sungai Buloh Selangor. Ceramah di sampaikan oleh Ustaz Dr Mohd Zamri Zainuldin (Dr Zamri MANTOP) dan alunan selawat oleh Inteam dan ahli jamaah surau.
“Seterusnya di teruskan ziarah ke beberapa buah rumah sekitar Bukit Saujana. Antaranya anggota Kumpulan Nasyid Rabbani yang di uji dengan kesihatan buah pinggang sekian lama, dan masih menerima rawatan,” katanya.
Selain itu, In Team bersama Dhuafa Sejahtera turut memberi petron percuma kepada 100 buah motosikal dan kenderaan e-hailing di Petronas Bandar Sri Damansara.
Turut disantuni selepas itu adalah 60 asnaf di Masjid Jumhuriah, Taman Dato Harun, Petaling Jaya Selatan yang rata-ratanya adalam miskin tegar dan terkesan dengan pandemik. -SM