RMK-12: RM2.25 bilion bantuan perumahan rakyat miskin, bina 500 ribu rumah
Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM2.25 bilion untuk bantuan perumahan kepada rakyat miskin dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, peruntukan tersebut adalah untuk membina dan membaik pulih sebanyak 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah.
Program tersebut melibatkan 75 ribu unit rumah di kawasan luar bandar dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar.
Peruntukan tersebut antara Fokus Ketiga RMK-12 Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Selaras dengan Dasar Perumahan Negara, Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti, dan mampu milik demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Bagi mencapai hasrat itu, Kerajaan telah membina lebih daripada 282 ribu unit rumah mampu milik dalam tempoh RMKe-11. Sebanyak 500 ribu unit lagi rumah mampu milik akan dibina dalam RMKe-12 bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah.
“Di samping itu, kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO), akan ditambah baik bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan bayaran ansuran,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kerajaan kekal komited bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan demi memastikan rakyat sihat dan produktif.
Ia melibatkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara juga sedang dimuktamadkan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri.
Selain itu, Institut Penyakit Berjangkit Malaysia akan dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun 2022.
Penubuhan institut ini bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit.
“Kerajaan juga telah mengenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital, untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap seribu penduduk menjelang tahun 2025.
“Kerajaan akan turut membangunkan fasiliti kesihatan baharu, sebagai tambahan kepada 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh RMKe-12,” katanya.
Selain itu, kelengkapan dan peralatan kesihatan, termasuk keperluan unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah.
Dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan bandar dan luar bandar, Kerajaan akan membina dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh negara. -SM