Pesakit Covid-19 minta dibebaskan dari hospital, meninggal dunia
SEORANG pesakit Covid-19, dikenali sebagai Affendy yang pernah mengemparkan negara selepas meminta dirinya dibebaskan daripada Hospital Pulau Pinang (HPP) dilaporkan telah meninggal dunia.
Seorang doktor perubatan, Dr. Sakinah Sulong mengucapkan salam takziah kepada keluarga allahyarham sebentar tadi.
“Saya ucapkan takziah kepada keluarga En Afendy, yang pernah viral minta ‘dibebaskan’ di Hospital Pulau Pinang. Walaupun kata-kata arwah melukakan hati ramai barisan hadapan tapi saya harap kita semua maafkan dia.
“Saya pasti staff Hospital Pulau Pinang telah beri rawatan sebaik mungkin,” kata beliau melalui media sosialnya.
Seorang pengamal perubatan, Dr. Malar Santhi Santherasegapan di laman Facebook miliknya turut memaklumkan kematian lelaki tersebut.
“Ajal maut bukan di tangan doktor atau peguam atau atas sesuatu prosedur. Ajal maut telah ditetapkan. Persoalannya, adakah kita sudah berikhtiar sehabis baik. Apa yang kita boleh bakal lakukan kalau ada kes akan datang.
“Ajal dia sudah sampai dan nyawanya sudah diambil. Sama seperti saya, kalian semua juga mesti reda dengan pemergian dia. Persoalannya, apa yang kita akan buat atau patut buat pada masa hadapan untuk kes sama? Apa iktibar yang kita boleh ambil daripada kisah ini,” tulisnya hari ini.
Media sosial terutama Facebook pada 13 September lalu kecoh dengan rakaman audio membabitkan seorang pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), yang mendakwa dia diculik dan dipaksa berada di ICU oleh kakitangan hospital berkenaan.
Menerusi rakaman audio yang tular, pesakit berkenaan mendakwa dirinya masih sihat namun dipaksa memakai alat bantuan pernafasan oleh petugas di ICU.
Dengan menggunakan hashtag #BebaskanAffendy, individu yang mendakwa mengenali pesakit berkenaan mahu doktor bertugas segera ‘membebaskan’ pesakit itu daripada ICU HPP.
Pesakit juga mendakwa dia bernafas dengan baik sebelum dipaksa menggunakan alat bantuan pernafasan berkenaan.
Malah pesakit juga mendakwa, dia yang dirawat di HPP sejak minggu lalu hanya datang untuk membuat saringan Covid-19 sebelum ‘diangkut’ untuk dirawat di dalam wad pesakit Covid di HPP.
Menerusi rakaman audio berkenaan, pesakit mendakwa rakannya turut berdepan masalah yang sama apabila ditahan di ICU selepas datang ke HPP untuk membuat saringan Covid-19.-SM