Nasional

Kerajaan pertimbang permintaan pekebun kecil getah tukar tanaman

Permintaan seramai 360 pekebun kecil getah di Felda Lubuk Merbau untuk menukar tanaman asal dari getah ke kelapa sawit ketika melakukan penanaman semula tahun depan, bakal dipertimbangkan di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, permohonan itu akan diperhalusi kerana ianya turut melibatkan dasar kementerian dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Permohonanan untuk penanaman semula ini sebenarnya sudah dibuat lama tetapi ‘sangkut’ di zaman Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. Jadi selepas ini insya Allah kita akan laksanakan semula untuk mereka.”

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas diberikan taklimat mengenai program tanam semula di Dewan Mesyuarat Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Katanya, antara faktor permohonan untuk menukar tanaman getah ke kelapa sawit adalah kerana perbandingan harga antara kedua-dua komoditi tersebut yang menyaksikan harga kelapa sawit lebih tinggi daripada getah.

“Keduanya faktor tenaga kerja sebab kalau hendak menoreh, perlu ada pekerja tetap. Kalau tak hujan, memang nak kena menoreh getah hari-hari, tapi kalau kelapa sawit tu maknanya bukan hari-hari, itu bezanya”.

Hadir sama Pengarah Risda Kedah, M. Azmi Mohd, Pengarah Wilayah Felda Alor Setar, Wan Zamri Wan Yusuf serta Pengurus Felda Lubuk Merbau, Mohd. Nordin Abd. Rahman.

Mahdzir menambah, jumlah tanah felda yang terlibat dalam permohonan penukaran tanaman dari getah ke kelapa sawit di felda itu, berkeluasan hampir 402 hektar.

“Selain itu katanya, terdapat juga permohonan dari 56 peneroka untuk melakukan penanaman semula kelapa sawit di atas tanah seluas kira-kira 183 hektar.

“Semua tanaman semula itu yang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun depan, merupakan program untuk fasa satu.

“Manakala untuk program tanaman semula fasa kedua pula, ia akan dilaksanakan pada 2023 melibatkan 231 peneroka,”.

Fasa kedua itu jelas beliau, membabitkan keluasan ladang hampir 754 hektar.

Pihak peneroka juga membuat permohonan untuk bantuan sara hidup bagi tempoh proses penanaman semula komoditi itu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button