Nasional

Harga ayam: KPDNHEP arah peniaga, pengeluar, penternak adakan libat urus

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil pendekatan baharu bagi menangani isu kenaikan harga ayam yang sentiasa berulang.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi atau lokaliti berlakunya kenaikan harga.

Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah.

“Adalah diharapkan, peniaga di semua peringkat rantaian mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil tanpa kenaikan mendadak dan berterusan.

“Sekiranya peniaga enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu ini, tindakan tegas akan diambil dan kompaun maksimum dan/atau pendakwaan di mahkamah akan diambil ke atas peniaga terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, KPDNHEP juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam memastikan harga dedak yang diimport, harga baka ayam dan anak ayam yang mempengaruhi harga ayam dapat diminimakan.

Alexander menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat secara tidak munasabah atau terdapatnya kartel yang memunipulasi harga di peringkat rantaian.

Pemantauan harga runcit pada 10 September lalu mendapati harga purata ayam bersih standard peringkat Nasional adalah pada paras RM8.83 sekilogram (/kg)

Di Semenanjung, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.78/kg dan julat harga jualan adalah antara RM5.99/kg hingga RM11.00/kg.

Berdasarkan pemerhatian, premis yang menjual pada harga tinggi melebihi RM9.00/kg terdiri daripada pasar basah/awam.

Harga paling tinggi adalah RM11.00/kg dijual di Pasar Besar Raub, Pahang.

Dalam masa yang sama, premis pasaraya dan hypermarket masih menawarkan ayam bersih standard pada harga yang berpatutan.

Premis yang menjual pada harga paling rendah pada RM5.99/kg adalah Pasaraya Tesco/Lotus seluruh negara.

Selain itu, Pasaraya Giant, Pasaraya Mydin dan Econsave masih menawarkan ayam pada harga RM7.39-RM7.99/kg.

Di Sabah, harga purata ayam bersih standard adalah pada RM11.33/kg.

Harga paling tinggi adalah RM11.80/kg dijual di Gentingmas Mall, Sandakan manakala harga paling rendah adalah RM10.90/kg dijual di Pasar Basah Sibuga, Batu 8 di Sandakan.

Di Sarawak pula, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56/kg. Harga paling tinggi adalah RM9.80/kg dijual di Central Market, Sarikei manakana harga paling rendah adalah RM7.50/kg dijual di Everwin
Supermarket Mukah.

Pengguna dinasihatkan untuk bijak dalam memilih tempat dan masa untuk membeli ayam pada harga patut.

Sementara itu KPDNHEP telah bertindak melalui pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan yang
menghasilkan 208 notis bertulis kepada peniaga, lima item dikesan mencatut dan dua kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut di bawah S.14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21(5), AKHAP 2011.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button