Rusia bina peluru berpandu terpantas
SEBUAH peluru berpandu rentas benua baharu dibangunkan Rusia didakwa mampu terbang 27 kali ganda kelajuan bunyi.
Senjata berkenaan dikatakan mampu menemui sasarannya yang berada pada kedudukan 6,000 kilometer.
Projek berkenaan disahkan Presidennya, Vladimir Putin sekali gus memperkuatkan kebolehan serangan negara senjata nuklear itu.
Huffington Post yang memetik kenyataan Putin sebagai berkata, peluru dilengkap dengan teknologi Avangard adalah yang paling canggih.
Menurut Putin, Rusia turut membina beberapa kemampuan ketenteraan lain selain Avangard selepas usaha Amerika Syarikat (AS) dikatakan mahu membangunkan senjata yang mampu memusnahkan pertahanan nuklearnya.
Pembangunan senjata berkenaan yang turut dibangunkan oleh China dipercayai mengganggu perancangan strategi pertahanan AS.
Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu dalam laporannya kepada Putin memberitahu, peluru berpandu dilengkapi Avangard sudahpun bersedia untuk digunakan.
“Tahniah, ini adalah penanda aras dalam ketenteraan seluruh negara,” katanya. – Agensi