Nasionalpilihan

Myvi remuk teruk dirempuh, rupanya pemandu lori positif dadah

SATU kemalangan tular di media sosial petang tadi hingga mengakibatkan sebuah Produa Myvi dirempuh sehingga penyek rupanya akibat daripada pemandu lori yang positif dadah.

Dalam kejadian yang berlaku di Jalan Ipoh petang tadi, pemandu lori itu telah merempuh lima buah kenderaan dan mujur pemandu Myvi yang terlibat dalam kemalangan tersebut terselamat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pemandu lori berusia 25 tahun itu juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamin.

“Siasatan awal mendapati, pemandu lori warga tempatan tersebut telah memandu dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul sebelum gagal mengawal kenderaan dan merempuh laju lima kenderaan.

“Pemandu lori berkenaan telah merempuh kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat. Kelima-lima kenderaan terlibat adalah dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda Hrv dan Peugeot 208,” katanya.

Menurut Sarifudin, pemandu Myvi yang berusia 45 tahun hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Jelasnya, pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan parah dan mereka telah mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang.

“Kita juga telah menahan pemandu lori berkenaan dan mendapati lelaki terbabit tidak berada dalam pengaruh alkohol namun positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamin.

“Pemandu lori berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Petang tadi, tular di laman sosial berkenaan kemalangan tersebut yang menyaksikan kereta Myvi remuk teruk selepas dirempuh lori berkenaan dari belakang dan menghentam kenderaan di hadapan.

Pemandu itu bagaimanapun terselamat dan berjaya keluar daripada kenderaan berkenaan sambil dibantu pengguna jalan raya yang lain. -SM

(Visited 471 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button