Semua taman rekreasi dibenarkan dibuka termasuk di Fasa 1
SEMUA taman rekreasi dibenarkan untuk dibuka dan digunakan termasuk di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara berkuatkuasa esok.
Dalam pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin hari ini, pembukaan taman rekreasi tersebut sebagai usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental.
“Kerajaan juga bersetuju membenarkan taman-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 PPN dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuatkuasa 16 Ogos 2021.
“Tetapi ingat, hanya aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti jogging, berbasikal dan bersenam dibenarkan, selari dengan SOP sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN,” katanya.
Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja.
Mereka sama sekali tidak boleh merentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain.
“Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang
terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah.
“Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” pesan Muhyiddin.
Tegas beliau, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau pematuhan prosedur operasi standard di taman-taman rekreasi awam ini.
Mereka mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.-SM