Hiburanpilihan

Siti Sarah bukan milik saya, tapi milik Allah – Shuib

“Allah lebih sayangkan dia (Siti Sarah). Sebelas tahun Allah pinjamkan dia dan sepanjang itu saya menumpang tuah dia sehinggalah saya berada di tahap sekarang”.

Itu yang diluahkan pelawak, Shuib, dalam satu sesi siaran langsung yang dibuat menerusi akaun Instagram miliknya hari ini.

Menurut Shuib, dia sebenarnya menumpang tuah seorang isteri yang taat, setia, tidak pernah mengeluh dan tidak malu bersuamikan dirinya.

Malah, dia juga bersyukur sejak arwah isterinya dimasukkan ke hospital, tidak putus-putus orang mendoakan isterinya walaupun tidak dikenali.

“Sepanjang 11 tahun berkahwin, Siti Sarah ajar saya untuk tidak berkira-kira dengan duit sebab nanti kita akan berkira-kira dengan sedekah kita.

“Saya ikut kata-kata dia hingga jadi amalan dan itulah kebaikan yang dia ajar saya dan anak-anak. Sebab itu saya redha dengan pemergian dia,” katanya.

Menurut Shuib, dia juga sudah memaklumkan kepada anak-anaknya berkenaan pemergian arwah walaupun agak sukar baginya untuk berbuat demikian.

Jelasnya, nak menjelaskan perkara tersebut terhadap anak-anaknya adalah satu ujian yang sangat berat.

“Saya pangil semua dan beritahu yang ibu tidak akan balik rumah. Saya pesan kita sebelum ini berdoa dengan Allah supaya ibu dapat balik tetapi ibu bukan milik kita, tetapi milik Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib turut meminta kepada lebih 600,000 orang yang menonton supaya mengambil vaksin dan menjaga diri ketika Covid-19.

Jelasnya, Siti Sarah masih belum divaksin dan pemergian Allahyarham juga adalah kerana kegagalan paru-paru untuk berfungsi.

“Doktor beritahu yang paru-paru arwah isteri sudah penuh dengan Covid-19. Itu yang saya minta pada semua untuk mengambil langkah pencegahan dengan mengambil vaksin.

“Selain daripada itu makanlah vitamin dan buah-buahan yang boleh menguatkan imunisasi badan serta patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button