PELAWAK, Shuib meminta orang ramai berhenti daripada berkongsi rakaman suara yang mengatakan Siti Sarah berada dalam keadaan kritikal.
Menurut Shuib, rakaman suara itu memang benar tetapi itu adalah keadaan isterinya pada hari Jumaat lalu.
“Berkenaan voice note yang viral tentang Siti Sarah, itu adalah keadaan pada hari Jumaat @ 6 Ogos. Jadi saya mohon tolong hentikan share/delete posting tersebut di mana-mana platform media sosial.
“Keadaan terkini Sarah masih lagi sedang ditidurkan dan saya mohon terus mendoakan Sarah diberi kekuatan dan diberi kesembuhan kembali,” jelasnya.
Terdahulu, Siti Sarah terpaksa ditidurkan kerana tahap oksigen yang rendah dan dalam masa sama perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi yang dikandungnya.
Pembedahan tersebut berjalan dengan baik namun Siti Sarah masih lagi berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Malah, Shuib pada semalam juga berkongsi yang tahap oksigen Siti Sarah juga semakin meningkat berbanding pada hari sebelumnya.
Terdahulu, Shuib, Siti Sarah dan anak-anak mereka disahkan positif Covid-19 dan sepatutnya akan tamat kuarantin pada hari sama penyanyi itu dibawa ke hospital selepas mengadu kekurangan oksigen. -SM