Nasional

Perlis perlu ambil iktibar kejadian kebakaran kampung di atas air – Raja Muda Perlis

Perlis harus sentiasa mengambil iktibar dari pengalaman kebakaran perkampungan di atas air yang berlaku di negeri Sabah pada beberapa bulan kebelakangan ini bagi memastikan nyawa dan harta benda dapat diselamatkan. Negeri Perlis sendiri sebelum ini juga telah mengalami kejadian-kejadian yang serupa sebanyak beberapa kali.

Perkampungan atas air merupakan perkampungan tidak dirancang dengan teratur dan seterusnya tidak mematuhi spesifikasi yang ada terkandung dalam perundangan Uniform Building by Law (UBBL) 1998 Malaysia yang merupakan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Oleh yang demikian pematuhan kepada peraturan dan undang-undang berkaitan pembinaan adalah seringkali tidak dipatuhi.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyaksikan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 29 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah Masjid Al Ghoffur, Kg. Padang Lati yang diadakan di Tasik Melati dekat Kangar baru-baru ini.

Amil kariah tersebut, Kamarudin Sulon menerima sumbangan penuh RM21,700 yang mana masing-masing menerima RM700 setiap seorang bersempena program MAIPs Peduli pada kali ini.

Hadir mengiringi baginda ialah Mufti Negeri, Prof Madya Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.


Menyentuh perkara yang sama, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri menganjurkan satu sesi ceramah yang diadakan secara maya bersama-sama dengan para pemimpin komuniti setempat bagi Projek DiRaja Program Transformasi Kg. Seberang Ramai, Kuala Perlis bertajuk ’Keselamatan Elektrik & Keselamatan Kebakaran Berkelompok Di Kawasan Perkampungan Di Atas Air’ pada sabtu, 7 Ogos 2021.

Taklimat bagi program yang diadakan sebagai sebahagian daripada kempen ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis atas ilham Tuanku Raja Muda tersebut disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri, Ruhisha Haris dan Ketua Retail Negeri (Perlis) SME & Residential, Bahagian Retail TNB, Azian Alias.

Menurut Ruhisha, antara langkah-langkah pencegahan dan pengawalan daripada berlaku kemerebakan yang pantas jika berlaku kebakaran di kawasan perumahan atas air adalah dengan mengadakan ‘Fire breaks’ dengan dipisahkan laluan pelantar selebar sekurang kurangnya 3 meter bagi setiap kelompok 14 ke 20 unit rumah. Pelantar yang disediakan hendaklah diperbuat daripada simen atau bahan yang tidak mudah terbakar selain
menyediakan pili bomba di pelantar berkenaan pada jarak lebih kurang 100 meter dengan sistem paip daripada bahan yang tidak mudah berkarat.

Tambah beliau, ‘Bahan binaan bangunan perlu dikawal supaya menggunakan bahan binaan bangunan yang tidak mudah terbakar atau ‘fire retardant’ seperti simen board, batu bata dan bahan yang diuji kelulusan bahan oleh pihak jabatan’.

Menurut Azian pula, ‘InsyaAllah, kempen, demonstrasi serta taklimat secara praktikal sudahpun dirancang untuk para penduduk setempat dilaksanakan apabila negeri Perlis layak memasuki fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara kelak yang membenarkan aktiviti dijalankan secara bersemuka. Ia juga selanjutnya akan dikembangkan ke kampung-kampung di atas air yang lain di negeri ini nanti’.

(Visited 152 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button