PELAWAK, Shuib Sepahtu memaklumkan yang isterinya, Siti Sarah masih lagi belum sedarkan diri dan memerlukan bantuan oksigen.
Menurut Shuib, pada pukul 11 malam semalam, kadar oksigen isterinya menurun sehingga ke angka 40.
“Tapi pukul 2 pagi Alhamdulillah oksigen naik sampai 77 dan baru sebentar tadi doktor memamklumkan kadar oksigen Sarah berada di angka 80,” katanya.
Dalam pada itu, Shuib terus meminta semua supaya dapat mendoakan isteri dan anaknya yang baru dilahirkan secara pembedahan.
Semalam satu majlis bacaan Yassin secara maya telah diadakan Shuib yang turut disertai Datuk Dr. Mohd Fadzillah Kamsah, Ustaz Ahmad Salahuddin Harun serta rakan-rakan artis antaranya Lah Ahmad, Bob Yusof dan Liza Hanim.
Selepas bacaan Yassin tersebut, Shuib turut meminta maaf bagi pihak isterinya jika ada sesiapa yang sakit hati dan memohon dia agar urusan Siti Sarah dipermudahkan.
“Malam ini mengajar saya banyak perkara, Allah ajar saya untuk reda yang paling reda. Ya, saya dah reda. Apa sahaja keadaan selepas ini saya akan reda.
“Allah telah banyak uji kami, dari tahun pertama kahwin sampai sekarang,Allah memang hantar dia untuk baiki hidup saya.
“Tolong doakan dia.Tolong doakan anak saya juga yang berada di hospital,” kata Shuib.
Terdahulu, Siti Sarah, suami dan empat orang anaknya disahkan positif Covid-19 dan sepatutnya memotong gelang pada kelmarin.
Namun, Siti Sarah yang sedang sarat mengandung telah didapati mengalami kekurangan oksigen dan dibawa ke hospital.
Keputusan untuk menidurkan penyanyi itu juga terpaksa dibuat bagi melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi. -SM