Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berdiri teguh dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyatakan menyatakan komitmen untuk menyokong keputusan-keputusan yang telah ditetapkan oleh kabinet termasuk pendirian kerajaan untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat.
Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, dia yakin sokongan lebih 110 ahli-ahli parlimen kepada kerajaan hari ini menjamin kestabilan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.
“Kami yakin dengan sokongan lebih 110 ahli-ahli parlimen kepada Kerajaan hari ini menjamin kestabilan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19, menyelesaikan masalah ekonomi negara dan untuk menjayakan Program Imunisasi COVID Kebangsaan (PICK) serta perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara.
“Kami turut menjunjung kasih ke atas titah pandangan dan keprihatinan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada semalam.
“Kami sentiasa mengambil pendirian yang tegas dalam mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan sentiasa mendokong keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Menurutnya, dia turut menyeru agar semua pihak kekal fokus dan bersatu demi manfaat rakyat Malaysia amnya.
Dalam pada itu, dia mewakili Armada turut merafak sembah menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-62, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada hari ini. -SM