Nasional

Kementerian Kesihatan tidak tahu tentang pemotongan BIPK?

MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah meminta wakil daripada kementeriannya untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada kadar segera bagi membincangkan mengenai elaun Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Dzulkefly dalam ciapan di laman Twitter hari ini menamakan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagi mewakili pihak kementerian untuk berjumpa dengan JPA pada sesi pertemuan itu.

“Saya akan pantau perkembangan perkara ini. Keperluan setiap kementerian pastinya berbeza dan ini wajar dibawa ke kabinet sekali lagi akhirnya,” menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

JPA dalam satu kenyataan semalam menjelaskan pemansuhan BIPK hanya melibatkan pelantikan baharu sahaja mulai 1 Jan 2020.

Menurut kenyataan itu lagi, penerima BIPK sedia ada tidak terjejas dan akan terus menikmati pembayaran BIPK secara Khas Untuk Penyandang (KUP) mengikut kadar sedia ada yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2007 sehingga meninggalkan perkhidmatan.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat perkara itu perlu dibincang semula oleh kerajaan dalam sidang kabinet pertama pada tahun depan.

“Para menteri juga disyorkan menggunakan ruang kabinet bagi menyatakan pandangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kerajaan harus mengambil kira keresahan dan kebimbangan yang disuarakan rakyat. – BERNAMA

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button