Anggota keselamatan tidak perlu bimbang, tindakan hanya ke atas mereka yang laku kesalahan
Jika seseorang itu melakukan sebarang kesalahan dan tindakan diambil oleh mana-mana agensi pasukan keselamatan, adalah lebih baik berikan kerjasama atau membenarkan anggota pasukan keselamatan tersebut membuat tugasnya.
Jangan bimbang sekiranya anda tidak melakukan kesalahan, sudah tentu mereka tidak akan mengambil tindakan terhadap anda.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan ibadah korban yang dilaksanakan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah bertempat di Kem Bukit Keteri, Perlis hari ini.
Rejimen berkenaan telah melakukan ibadah korban dengan menyembelih 5 ekor lembu hasil penyertaan para anggota dan sumbangan oleh Mufti Perlis Prof Madya Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan rakan-rakan beliau pada kali ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Panglima 30 Briged Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu dan Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi JAKPAW Perlis Kolonel (Kehormat) Azman Yusof.
Tambah baginda yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen berkenaan, anggota pasukan keselamatan mempunyai pertimbangan dan budi bicara dalam menyelesaikan sebarang isu. Sekiranya ada masalah, ia boleh berbincang atau diselesaikan dengan baik dan matang kerana mereka juga bertimbang rasa serta boleh bertolak-ansur. Jangan mengeruhkan keadaan dengan sebarang sifat provokasi.
Terang baginda lagi, kepada pasukan keselamatan yang bertugas, hadapi apa juga situasi dengan profesional dan sabar kerana integriti dan kelakuan anggota pasukan keselamatan sentiasa diperhatikan oleh orang awam. Tambahan pula pada masa kini rakaman video melalui telefon bimbit amat mudah tular hasil daripada kesilapan serta kesalahan yang dibuat samada secara sengaja atau tidak.
Di akhir Ibadah Korban tersebut, Tuanku Raja Muda buat kesekian kalinya menyeru rakyat Perlis khususnya bagi golongan muda yang kehilangan pekerjaan semasa pendemik ini untuk segera mendaftarkan diri untuk menyertai Rejimen Askar Wataniah sebagai anggota sukarela. Dengan penyertaan ini dilihat akan turut memperkasakan benteng kedua pasukan keselamatan negara kita tercinta.