TPM terkesan rintihan keluarga terpisah begitu lama akibat PKP
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terkesan dengan rintihan keluarga yang tidak dapat berjumpa pasangan, ibu bapa dan anak masing-masing berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Komen-komen tersebut diluahkan di media sosial rasmi Ismail Sabri yang dibaca sendiri oleh beliau.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau sedar ahli keluarga terutama ibu bapa dan anak-anak tidak sepatutnya terpisah dalam tempoh yang lama walaupun atas faktor keselamatan.
“Melihat kepada komen-komen yang diberikan netizen di media sosial, saya dapati ramai yang menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibubapa yang terpisah dari anak-anak kerana larangan merentas negeri.
“Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.
“Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama. Lebih-lebih lagi jika ibubapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin,” kata beliau.
Justeru, Ismail Sabri berkata, dia sentiasa membawa isu berkenaan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang berlangsung setiap hari.
Beliau dalam kenyataan ringkas di media sosial memberi gambaran bahawa sekatan perjalananakibat Perintah Kawalan Pergerakan yang menjadi penghalang ahli keluarga berjumpa akan dlonggarkan tidak lama lagi.
“Oleh sebab itu saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat MKN, supaya kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.
“InsyaAllah, kerajaan sedang memperhalusi cadangan ini bagi membolehkan pasangan dan keluarga jarak jauh disatukan semula,” katanya.-SM