Kegembiraan lenyap sekelip mata dek Covid-19
Kegembiraan seorang suami untuk menimang cahaya mata perempuan selepas mempunyai dua anak lelaki tidak kesampaian apabila isteri dan kandungannya yang berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat Covid-19 semalam.
Mohd. Fadli Abd. Wahab, 35, berkata, isterinya, Umaisarah Azmi, 25, yang sedang mengandung anak ketiga meninggal dunia selepas disahkan positif Covid-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada pukul 1.25 petang.
Ibu kepada dua anak lelaki berusia 6 dan 3 tahun dan tidak bekerja itu menghembuskan nafas terakhir selepas lapan jam dimasukkan ke hospital berkenaan kerana mengadu sesak nafas di rumahnya di Kampung Pokok Asam, Pinang Tunggal di sini pada pukul 5.05 pagi.
Menurut Mohd. Fadli, sejak mula mengandung pada Januari lalu, isterinya tidak pernah menghidap sebarang penyakit atau mengalami alahan.
“Saya terkejut kerana awal pagi Sabtu dia mula mengadu sukar bernafas, selain lemah seluruh badan.
“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya segera membawanya untuk mendapatkan rawatan di HSAH tetapi lapan jam kemudian dia disahkan meninggal kerana Covid-19,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Pokok Asam, Pinang Tunggal di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fadli yang bekerja di sebuah pusat menjual kereta terpakai di Padang Temusu dekat sini, dia dan isterinya sebelum ini gembira apabila bakal memperoleh cahaya mata perempuan dalam tempoh dua bulan lagi.
“Dua anak lelaki saya juga teruja dan tidak sabar menunggu kelahiran adik perempuan mereka,” katanya.
Tambahnya, sejak awal Jun lalu, dia sentiasa menemani isterinya di rumah kerana tempat kerjanya ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Tetapi awal pagi semalam selepas sesak nafas sehinggalah dia menghembus nafas terakhir saya tidak sempat berada di sisinya dan hanya melihat tubuhnya telah kaku ketika dipanggil doktor untuk tujuan pengesahan kematian,” katanya.
Menurutnya, selepas mengetahui kematian isterinya, dua anak lelakinya itu asyik menangis dan memanggil ibu mereka pulang ke rumah bersama adik perempuan yang sedang dikandungnya.
Katanya, jenazah isterinya dikebumikan di tanah perkuburan Islam di pekarangan Masjid Kampung Pokok Asam di sini selepas selesai proses bedah siasat hari ini.