Yang dikejar tak dapat, yang dikendong bakal keciciran
GELAGAT sekumpulan pemimpin UMNO dewasa ini meresahkan rakyat. Selain beratib kerajaan hari ini supaya tumbang, mereka juga mengadakan gerakan gelap bagi meruntuhkan kerajaan yang sedang bertungkus-lumus menyantuni rakyat dan memerangi wabak Covid-19.
Itupun, nasib ada wabak. Kalau tidak lagilah mereka ghairah berjumpa mengatur pertemuan demi pertemuan bagi menjatuhkan kerajaan.
Golongan yang tidak tahu bersyukur dan meletakkan kepentingan peribadi berbanding rakyat keseluruhan ini mahu berkuasa dengan apa cara juga. Sama ada jajaran baru politik iaitu bekerjasama dengan DAP dan PKR atau memaksa perdana menteri menekan butang reset dengan meletakkan jawatan.
Kenapa Belang cakap kerana kepentingan peribadi? Sebabnya kalau mahukan parlimen bersidang kerajaan sudah bersetuju dan kalau tak silap pada 26 Julai ini parlimen akan bersidang.
Perdana menteri juga memberi jaminan apabila kes Covid-19 reda, beliau sendiri akan mengadakan pilihan raya dan jika dilihat kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) kita akan keluar dari kemelut pandemik pada akhir tahun ini apabila 80 peratus penduduk negara ini divaksin.
Ini bermakna pilihan raya akan dapat dijalankan selewat-lewatnya awal tahun depan. Jadi mana pula kerajaan tidak mahu mengadakan pilihan raya.
Menuduh kerajaan hari ini gagal pula di mana gagalnya. Janganlah membandingkan negara Singapura yang sebesar setem dengan Malaysia yang berkali ganda lebih besar dalam menangani pandemik ini.
Cuba lihat negara tetangga seperti Thailand dan Indonesia mereka juga bergelut menangani pandemik, bezanya pemimpin politik mereka lebih patriotik kerana bersama-sama menyumbang tenaga memerangi pandemik dan menyantuni rakyat.
Indonesia sendiri terpaksa melaksanakan darurat di Pulau Jawa dan Bali apabila kes harian mencapai lebih 20,000 sehari.
Lebih naif lagi apabila ada pemimpin UMNO yang mempertikaikan dana RM300,000 disalurkan kepada semua ahli parlimen untuk program bakul makanan untuk rakyat.
Ada yang berhujah seperti budak tadika kononnya jumlah itu terlalu kecil dan hanya boleh memanfaatkan 6,000 orang sahaja bagi satu kawasan parlimen.
Sedangkan dia lupa bakul makanan adalah untuk mereka yang terputuskan bekalan makanan tempoh pandemik ini. Sedang sebelum ini setiap parlimen juga telah mendapat peruntukan lebih RM3 juta dari kerajaan.
Selain bantuan secara langsung, dan banyak lagi bantuan secara tidak langsung bernilai ratusan bilion yang dilaksanakan oleh kerajaan meringankan bebanan rakyat.
Difahamkan pemimpin politik berkenaan sedang memaksa pemimpin lantikannya di dalam parti supaya menandatangani surat sokongan untuk menjatuhkan kerajaan.
Setakat ini maksimum dikatakan terdapat 10 ahli parlimen yang telah sama ada menyatakan sokongan dengan reda, terpaksa atau bersyarat.
Untuk rekod Barisan Nasional (BN) mempunyai 42 orang ahli parlimen.
Apa jadi jika selepas 1 Ogos ini UMNO menarik sokongan daripada kerajaan dan kerajaan tidak tumbang?
Secara automatik BN akan terkeluar dari Perikatan Nasional (PN) dan BN sendiri akan terbubar kerana para pemimpin parti komponen BN akan kekal di dalam PN. UMNO tidak boleh menjadi BN seorang diri.
Lupakanlah jika mereka mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) kerana Pas tidak akan bekerjasama dengan pemimpin yang tidak stabil mental dan emosinya.
Sedangkan MN, PN dan BN inilah yang memberi nafas baharu kepada UMNO selepas terlungkup tewas pada pilihan raya lalu dek angkara pemimpin segelintir yang angkuh tidak mahu mendengar rintihan rakyat dengan meletakkan jawatan.
Ini bermakna UMNO akan hanya ada 10 orang ahli parlimen hampir sama dengan Parti Amanah pimpinan Muhamad Sabu.
Dengan lebih 3 juta ahli, UMNO akan hanya ada 10 ahli parlimen sama dengan parti yang baru berusia setahun jagung.
Lebih malang lagi UMNO terpaksa bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya akan datang. Sedangkan UMNO tidak pernah bertanding di dalam pilihan raya kerana yang bertanding selama ini adalah BN. Kajian pula menunjukkan jenama BN paling kuat selepas PN untuk berhadapan dengan pilihan raya.
Jika ini berlaku UMNO akan bersama-sama DAP dan PKR di dalam barisan pembangkang dan sudah tentu sukar diterima oleh ahli UMNO.
Bagaimana parti yang berhaluan kanan Melayu hendak bekerjasama dengan parti cauvinis Cina. Maka UMNO terpaksa bertungkus-lumus menyucikan DAP dan sebuah lagi teman baharu iaitu PKR sebuah parti liberal.
Di mana akan tercampak perjuangan agama, bangsa dan tanah air?
Jadi insaflah wahai pemimpin UMNO kembalilah kepada meja rundingan bagi meneruskan agenda penyatuan Melayu dan Islam demi kestabilan negara.
Hanya dengan kerajaan Melayu yang stabil negara ini akan stabil kerana majoriti penduduknya adalah Melayu. Jika Melayu terancam kestabilan juga akan tergugat sebagaimana berlaku ketika 22 bulan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tempoh hari.