PROGRAM kesedaran vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli akan terus dipergiatkan bagi memastikan lebih ramai berdaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, selain memberi penerangan jelas mengenai kebaikan suntikan vaksin, pihaknya turut membantu memudahkan urusan vaksinasi melalui pelbagai kaedah termasuk membawa penerima ke pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak menerusi bas MARA Liner.
“Penerangan akan sentiasa berjalan, pasti akan ambil masa. Biar berjalan sekarang (penerangan), kesannya nanti mungkin kita dapat lihat pada Ogos dan September ini.
“Macam hari ini, 182 orang sudah mendaftar untuk vaksinasi. Saya kira ini satu pencapaian yang amat baik bagi memastikan masyarakat Orang Asli juga terlibat dalam PICK,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau proses vaksinasi masyarakat orang Asli menggunakan PPV bergerak di Kampung Orang Asli Tanah Abang, di sini hari ini.
Setakat 29 Jun, sebanyak 67,021 borang daftar vaksin daripada masyarakat Orang Asli diterima kementerian dengan 6,769 telah menerima dos pertama dan 1,599 dos kedua. Jumlah Orang Asli yang layak divaksin adalah seramai 144,180 orang. -SM