MENGGANTUNG bendera putih sebagai simbolik kepada mereka yang memerlukan bantuan menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini.
Terbaharu, selain bendera putih, satu lagi warna bendera iaitu ‘bendera merah’ pula menjadi kempen tetapi bukanlah untuk manusia.
Sebaliknya, kempen mengibarkan bendera merah itu dilakukan khusus untuk bantuan makanan bagi kucing dan anjing.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, sejak pandemik, banyak berlaku kes pembuangan kucing dan anjing peliharaan ke jalanan.
“Hal ini berlaku akibat pemilik tidak mampu untuk terus memelihara kucing dan anjing peliharaan mereka kerana faktor ekonomi. Akibatnya banyak kucing dan anjing terpaksa dihumban ke jalanan.
“Amat menyedihkan apabila muka-muka baru di jalanan berada dalam keadaan takut dan kekok menyesuaikan diri dengan risiko ancaman kebuluran, serangan dan pergaduhan dan tidak mengerti untuk bermandiri mencari makan.
“Akhirnya kucing dan anjing yang dibuang ke jalanan berakhir dengan kecederaan, trauma, penyakit berjangkit malah kematian,” KATANYA.
Susulan itu, Arie berkata, pihaknya menyeru masyarakat mengambil peranan keperihatinan terhadap masalah kejiranan yang mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
Jelasnya, ambil peduli dengan bertanya khabar keperluan bekalan makanan untuk kucing dan anjing jiran supaya dapat membantu jiran sekeliling yang memiliki haiwan peliharaan kucing dan anjing dalam kesusahan menghadapi tekanan ekonomi sempena Pandemik Covid-19 ini.
“Keprihatinan masyarakat sekeliling dapat mengatasi masalah pembuangan kucing dan anjing di jalanan.
“Kita menyeru dan mengajak semua masyarakat pelbagai bangsa prihatin dan penyayang supaya bersama menyertai Kempen Kibar Bendera Merah demi kelangsungan nasib dan hidup kucing dan anjing peliharaan.
“Kebersamaan kita semua menyelamatkan banyak nyawa daripada terseksa dan mengekalkan sifat kasih sayang dikalangan masyarakat,” jelasnya. -SM