Parlimen tidak terbubar automatik hari ini
Parlimen tidak akan terbubar secara automatik hari ini walaupun sudah enam bulan persidangan Dewan Rakyat tidak dilakukan.
Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, perkara tersebut berdasarkan Seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu).
“Jarak masa 6 bulan antara persidangan akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertama dalam penggal yang berikutnya adalah peruntukan di bawah Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 55(1) adalah berkaitan dengan “memanggil” Parlimen untuk bersidang.
“Pada Seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) adalah dinyatakan: “peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan; dan…”.
“Oleh kerana Seksyen 14(1)(a) telah menyatakan, antara lain, “memanggil” Parlimen tidak mempunyai kesan, maka jarak masa enam bulan juga tidak memberi kesan.
“Justeru, pada pandangan saya, Parlimen tidak terbubar secara automatik walaupun jarak masa antara dua persidangan telah melangkau enam bulan,” katanya.
Sebelum ini ada pihak berpandangan bahawa Parlimen akan terbubar berdasarkan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan.
Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.
Justeru, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang.
Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang adalah pada 29 Disember 2020 dan hari ini genap enam bulan Parlimen tidak bersidang.-SM