Ekonomi

Usahawan tenaga solar dilantik Profesor Adjung UPSI

Pengasas dan Pengarah Urusan syarikat tenaga boleh diperbaharui Gading Kencana Sdn. Bhd. dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Sains dan Matematik (FSM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pelantikan Datuk Dr. Ir. Guntor Tobeng diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff.

Usahawan tenaga solar dan tenaga boleh diperbaharui itu dilantik ke jawatan tersebut pada 1 Jun lalu sehingga 30 Mei 2023.

Dr. Md Amin berkata, pemilihan Guntor berdasarkan pengalaman beliau yang sangat luas di dalam industri solar serta inovasi-inovasi yang beliau lakukan berkaitan bidang tenaga yang boleh diperbaharui di dalam dan luar negara.

“Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang bersama beliau termasuk beberapa siri syarahan, seminar dan bengkel terutamanya di dalam bidang ilmu dan industri tenaga boleh diperbaharui bersama tenaga akademik dan mahasiswa FSM,” katanya dalam satu kenyataan.

Guntor tokoh terkemuka dalam perniagaan industri tenaga di Malaysia yang telah mendapat banyak anugerah dari dalam dan luar negara.

Syarikat yang dikendalikannya, Gading Kencana ketika ini mempunyai dua ladang solar berskala besar di Melaka dan Perak sementara dua lagi ladang solar berskala besar sedang dalam pembinaan di Perak.

Gading Kencana juga ketika ini dalam proses pembinaan stesyen elektrik mini hidro juga di Perak.

Menurut Md. Amin, melalui pelantikan Profesor Adjung daripada industri, FSM yakin ia akan membuka mata dan minda mahasiswa mengenai peluang mereka untuk menerokai alam pekerjaan di bidang industri selain meletakkan kebergantungan terhadap sektor kerajaan.

“Perancangan lain yang telah difikirkan bersama dan mendapat persetujuan pihak Datuk Muhammad Guntor adalah penempatan latihan industri mahasiswa dan program sangkutan tenaga akademik FSM di Gading Kencana Sdn. Bhd. itu sendiri.

“Tenaga-tenaga pakar dari FSM juga akan turut bersama -sama berkongsi kepakaran mereka dengan Gading Kencana Sdn Bhd agar kerjasama ini dilihat tidak hanya berat sebelah dan memberi keuntungan atau kelebihan kepada pihak universiti sahaja,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan Guntor menguruskan syarikat perkhidmatan dan pembekalan tenaga boleh diperbaharu, khususnya solar mampu merapatkan jurang antara universiti dengan industri solar dengan kata lain mengindustrikan universiti.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button