Influencer maki Fazley Yaacob kerana buat kek batik tak sedap
PENYANYI dan cef selebriti, Fazley Yaacob menganggap tindakan seorang ‘influencer’ yang memakinya kerana membuat kek batik yang tidak sedap sebagai satu daripada cara untuk mempromosi produknya.
Menurut Fazley, ramai yang menghantar gambar tangkap layar berkenaan makian influencer tersebut kepadanya dan menganggap tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak patut dilakukan.
“Saya yakin dia berniat baik. Mungkin itu adalah cara beliau untuk menegur saya supaya berusaha lebih baik menghasilkan kek batik tersebut, mungkin juga ianya cara beliau untuk mempromosikan produk tempatan untuk sokong saya, mungkin juga ianya cara beliau untuk bergurau dengan teman2 beliau. Saya lebih gemar bersangka baik daripada mengambil hati
“Tetapi saya juga berpegang kepada prinsip saling sokong menyokong semua yang dalam industri yang sama. Saya bekerjasama dengan semua tak kira jenama besar atau yang tiada jenama sebab saya percaya dalam rezeki saya sebagai seorang tukang masak, ada rezeki orang lain juga, baik dari segi pembekal, pembungkus, penghantar, pembeli dan semua yang terkait dari titik A ke titik Z dalam proses penjualan makanan,” katanya.
Menurut Fazley lagi, dia juga sebenarnya segan untuk mengkritik hasil air tangan orang lain di media sosial kerana masing-masing mempunyai cita rasa berbeza.
“Prinsip saya tak suka tak apa. Tak sedap tak apa. Biar orang ramai yang bagi pendapat sendiri. Asalkan saya tidak berkongsi apa2 yang boleh melukakan hati sesama tukang masak atau baker,” katanya.
Dalam pada itu, Fazley turut merakamkan ucapan terima kasih kepada influencer tersebut dan akan terus menyokong individu terbabit. -SM