ATM bina ‘Field ICU’ di perkarangan Hospital Kepala Batas
Dapat tampung 27 pesakit kritikal Covid-19
PERKARANGAN Hospital Kepala Batas di Pulau Pinang menjadi ‘Field ICU’ yang menggunakan konsep modular di mana ia mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan.
Selain itu, ‘Field ICU’ yang dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam juga mampu memberi bantuan peralatan ‘life support’ lain selain daripada lengkap dengan makmal modular dan unit radiologi bagi memberi kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal.
Memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di akaun medsos, perkhidmatan ‘Field ICU’ ini akan mula beroperasi tidak lama lagi.
“Operasinya secara berperingkat-peringkat dan sebagai permulaan, seorang pakar anestesiologi dan rawatan rapi, dua pegawai perubatan dan 14 jururawat terlatih dalam rawatan rapi akan memulakan tugas.
“Kekuatan tenaga kerja daripada pelbagai kategori ini akan dipertingkatkan lagi mengikut keperluan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan KKM tersebut.
Tambah KKM lagi, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM pernah mendirikan hospital medan untuk pesakit non-Covid iaitu di Tawau, Sabah serta membina hospital makeshift Covid-19 di Penjara Pokok Sena, Kedah.
Terkini, di Kapit, Sarawak, dibina makesift hospital yang sama, katanya.
PKRC MAEPS 2.0, kata KKM lagi, yang mampu menampung sehingga 8,000 katil bagi merawat pesakit-pesakit Covid-19 negeri-negeri Lembah Klang dan sekitarnya adalah hasil daripada pembinaan oleh ATM.
“Kolaborasi antara agensi sebegini sentiasa dialu-alukan dalam usaha kita sebagai satu pasukan memerangi pandemik Covid-19,” kata KKM.
Semuga segala usaha yang dilakukan ini dapat membantu dan memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada para pesakit Covid-19 terutamanya yang kritikal dan seterusnya dapat mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia. – SM