Politik

Gantung Parlimen sekat solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin

SUARA rakyat Malaysia menentang keganasan Regim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin dikatakan tidak dapat diutarakan berikutan penutupan Parlimen.

Pelaksanaan Perintah Darurat menutup Parlimen negara ini sekali gus tiada sidang khas bagi membincangkan krisis ini untuk dibawa ke peringkat antarabangsa seperti dilakukan pada 2010.

Oleh demikian Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak cukup lantang untuk menyuarakan pendirian terhadap kekejaman yang berlaku di Tebing Barat sejak Jumaat lalu.

Ini kerana, kekejaman yang berlaku di semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Timur al-Quds merupakan dasar apartheid yang melakukan penghapusan etnik dan menafikan hak asasi manusia.

Justeru, kerajaan digesa memberikan pendirian jelas terhadap hubungan dengan Israel termasuklah menamatkan hubungan dengan negara tersebut serta jaringan ekonominya.

“Malaysia tidak boleh berdiam diri, ia harus lebih lantang mengutuk sekerasnya dasar Israel.

“Ini adalah kerana Israel mengamalkan dasar apartheid/penghapusan etnik, dasar pengepungan ke atas Gaza,Tebing Barat dan Timur al Quds, dasar menafikan infra asas seperti air dan elektrik serta menimbulkan krisis kemanusiaan yang menafikan perjanjian antarabangsa.

“Parlimen Malaysia 2010, pernah mengutuk serangan ke atas Gaza secara konsensus.

“Malangnya Parlimen hari ini digantung, sewajarnya satu sidang khusus dibuat untuk menyampaikan sikap rakyat Malaysia mengutuk serangan terkini Israel.”

Demikian kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, mengkritik dasar darurat yang dikuatkuasakan kerajaan menyekat solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin.

Tambahnya, Kerajaan PN perlu berbuat sesuatu termasuklah mewujudkan gabungan atau kerjasama dengan negara-negara Islam lain untuk memberi tekanan kepada Israel.

Ini termasuklah menguatkuasakan tindakan boikot terhadap produk-produk keluaran serta yang mempunyai kepentingan terhadap Israel.

“Semasa PH menjadi kerajaan, Malaysia cuba memimpin usaha mengukuhkan solidariti negara Islam terhadap Palestin bersama Turki Pakistan dan Qatar yang diketuai oleh Tun M (Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Apakah kerajaan PN terlalu lemah hari ini sehingga sikap dan suara rakyat Malaysia gagal disampaikan dengan tegas?

“Kini tiba masanya semua pihak bersolidariti dengan penderitaan rakyat Palestin dengan menegaskan ‘Tidak kepada Normalisasi dengan Israel’ ‘Tiada Hubungan Ekonomi’ dan kita perlu secara rasmi menamakan Israel sebagai Negara Teroris yang membantai hak asasi manusia ke atas Palestin.

“Isu keganasan negara Zionist Israel tidak boleh dilihat secara bermusim, kita perlu memahaminya dari sudut sejarah, politik dan semangat kemanusiaan demi membela mangsa satu penindasan,” tegasnya.

Sejak petang tadi, sekurang-kurangnya 160 orang terkorban dan 950 cedera dalam konflik di Tebing Barat yang berlarutan sejak Rabu lalu.

Konflik didakwa bermula apabila Masjid Al-Aqsa diserbu pihak bersenjata Israel ketika umat Islam Palestin sedang menunaikan ibadah di sana pada Jumaat lalu.

Hal tersebut menyebabkan pasukan tentera Hamas melakukan tindakan balas menyerang kawasan hub ekonomi Israel di Tel Aviv. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button