Nasional

Malaysia kutuk Israel, gesa Majlis Keselamatan PBB bertindak

MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilakukan oleh negara Israel terhadap penduduk Palestin di semenanjang Gaza hingga mengakibatkan kematian dan kecederaan termasuk kanak-kanak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, serangan kejam, melampau dan keterlaluan itu menyalahi undang-undang antarabangsa.

“Pada hari-hari terakhir bulan suci Ramadan ini, serangan yang keji dan disasarkan terhadap saudara-saudara kita sesungguhnya amat biadab dan tidak menghormati bukan sahaja umat Islam di seluruh dunia tetapi umat manusia secara keseluruhan.

“Malaysia menuntut Israel untuk segera menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki termasuk yang berada di Semenanjung Gaza.

“Kekerasan secara berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin terutamannya pada bulan suci Ramadan tidak boleh diterima sama sekali dan regim itu wajib dipertanggungjawabkan,” kata Muhyiddin.

Serentak itu, Pedana Menteri menggesa agar masyarakat antarabangsa tidak menutup mata dan membiarkan kekejaman yang sedang dilakukan oleh Israel.

Malaysia meminta masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak tegas.

Badan dunia itu perlu mendesak Israel untuk menghentikan segera kezaliman terbaharu yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

“Masyarakat antarabangsa juga perlu bersama-sama menggembleng usaha bagi melindungi rakyat Palestin daripada tindakan ganas Israel,” tegas Muhyiddin.

Malaysia, menurut beliau akan terus memberikan sokongan pad dan mengukuhkan solidariti dengan rakyat Palestin.

Muhyiddin berkata, Malaysia tetap dengan pendirian menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1997 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button