Nasional

Sarjan Norihan kembali bertugas dengan dua butir peluru di tulang belakang

MANGSA kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, anggota Senoi Praaq, Sarjan Norihan Tari, 39, kembali menyarung pakaian seragam kebanggaannya dan sudah mula bertugas.

Beliau yang cedera parah dalam kejadian itu, telah kembali bertugas walaupun dua butir peluru masih tertanam di tulang belakangnya.

Kini beliau ditugaskan sebagai sarjan pentadbiran bekalan di Kompeni A, Batalion 3 PGA Senoi Praaq Kem Bidor sejak 1 Mac lalu.

Norihan sebelum ini adalah anggota infantri iaitu yang merupakan sebahagian daripada pasukan tempur dan anggota penjejak.

Tetapi disebabkan kesan pembedahan kecederaan ekoran ditembak pihak musuh itu menyebabkan pergerakannya kini agak terbatas kerana cepat letih selain dinasihatkan doktor tidak membuat kerja-kerja berat.

Selepas kejadian tembakan itu, hanya sebutir peluru berhampiran paru-paru dikeluarkan ketika pembedahan,  dua lagi butir peluru lagi yang tulang belakang pada bahagian pinggul tidak dapat dikeluarkan kerana bimbang boleh menyebabkan lumpuh.

Menurut Norihan, pada masa ini beliau masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang.

“Doktor memberitahu, sekiranya kedudukan peluru ini tidak berubah ia okey tetapi jika berubah maka doktor akan tentukan apa langkah seterusnya, pembedahan atau tak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melawat kem tersebut hari ini.

Menurut Norihan, keadaan kesihatannya bertambah baik dan beliau kini sudah boleh mengambil makanan pejal berbanding hanya bubur nasi dan sup ikan haruan sebelum ini.

Dalam kejadian pada 24 November lalu rakan sepasukan Norihan, Sarjan Baharuddin, 54, maut setelah berbalas tembakan dengan penyeludup sewaktu melakukan rondaan Op Benteng berhampiran pos TS9 Padang Besar, Perlis.

Manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.2 kilometer untuk mendapatkan bantuan di pos TS9 sebelum dihantar ke hospital.

(Visited 739 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button