Neelofa sah bergelar isteri, akui dah bersedia untuk timang zuriat
SELEBRITI dan usahawan, Neelofa, 32 selamat dinikahkan dengan pendakwah bebas, Haris Ismail, 26 dalam satu majlis pernikahan di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Proses ijabkabul tersebut disempurnakan oleh adik kandung Neelofa sendiri iaitu Mohd Aqief Mohd Noor.
Dalam majlis itu, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor turut menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin daripada Haris.
Bercerita mengenai pernikahannya hari ini, Neelofa berkata dia bersyukur kerana dapat mengadakan majlis tersebut walaupun kerajaan sebelum ini telah menumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pada penghujung tahun lalu.
“Reka Teemor menjadi pereka majlis untuk perkahwinan kami dan Alhamdulillah, semuanya dapat dilaksanakan dengan baik hari ini,” katanya.
Berkongsi detik perkenalannya dengan Haris, Neelofa berkata yang mereka mula berkenalan pada sekitar bulan Jun 2017.
“Kemudian pada 2018, saya bekerjasama buat kali yang pertama dengannya untuk sebuah projek. Selepas kolaborasi tersebut, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian.
“Dari titik pertemuan semula itu, kami mula mengenali hati budi masing-masing. Dia merupakan seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang. Apabila berbual dengannya, kita boleh bincangkan banyak hal dan ia membuatkan saya berasa selesa.
“Dia juga merupakan seorang pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi
solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran atau masalah,” katanya.
Ditanya sama ada Neelofa bersedia untuk menimang zuriat dalam masa terdekat, pelakon itu mengakui dia tidak kisah.
Ujarnya, seperti mana jodoh, perihal zuriat juga diserahkannya kepada tuhan dan jika diberikan rezeki dalam masa terdekat, dia menerimanya dengan tangan terbuka. -SM