PolitikUncategorized

UMNO perlu menang ‘ibu segala pertempuran’

PARTI UMNO perlu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dianggap sebagai ibu segala pertempuran.

PRU-15 menjadi medan untuk mengembalikan semula maruah UMNO yang telah tertewas dalam PRU lepas.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PRU-15 adalah peluang terbaik untuk UMNO mengembalikan kewibawaan dan harga diri parti itu sebagai parti induk orang Melayu.

PRU-15 juga menjadi satu-satunya peluang terdekat dan terbesar untuk UMNO kembali menjadi Kerajaan dan mentadbir negara.

“Usah kita menunggu sepenggal dua lagi. UMNO mesti segera kembali menjadi Kerajaan dengan cara yang bermaruah, demokratik dan berdasarkan mandat sebenar rakyat.


“Maka, pilihanraya ini adalah perkara yang sangat mustahak. Hanya dua kemungkinan yang ada. Sama ada kita menang dan memerintah, atau kita sekali lagi menjadi pembangkang dan diperkotak-katikkan!

“Yang pasti kita tiada Pelan B atau apa-apa pelan lain pada waktu ini. We must WIN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Waniat, Pemuda dan Puteri UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Mohamad optimis UMNO akan menang dalam PRU-15 sekaligus memerintah semula. Bagaimanapun untuk menang, UMNO tidak boleh keliru siapa musuh parti itu yang sebenarnya.

“Ini kerana menghadapi musuh yang nyata adalah lebih mudah, dari menentang musuh yang tersembunyi. Api dalam sekam sifatnya membakar lebih teruk, lebih sakit dan lebih memusnahkan.

“UMNO sepatutnya sudah tahu siapa mereka, walaupun tanpa perlu untuk disebutkan di sini. Cuma, beringatlah, musuh kita amatlah licik dan sanggup berbuat apa sahaja untuk memusnahkan kita,” katanya.

Selain itu UMNO juga perlu menguruskan golongan yang berpura-pura mendukung UMNO tetapi sebenarnya jiwa kumpulan terbabit telah dibeli.

Kumpulan itu menurut Mohamad, masih memerlukan UMNO untuk bernaung tetapi cinta dan hati mereka sudah diberikan kepada orang lain.

“Mereka telah digelapkan dengan kesenangan yang bersifat kebendaan. Pada mereka, UMNO tidak lebih dari sekadar tunggangan. Bila kuat, mereka dekat. Bila lemah, mereka mengalah.

“Ingat, UMNO ini bukan dayus. Sesiapa yang curang dan khianat, wajar ditinggalkan selama-lamanya,” katanya.

UMNO mesti menegaskan bahawa sesiapa yang memusuhi orang Melayu dan Islam adalah musuh UMNO.

Beliau turut mengingatkan pemimpin UMNO jangan terlalu asyik dan fokus dengan perbincangan politik di media sosial seperti Whatsapp dan Facebook.

Tegasnya, perbahasan di media sosial tidak akan membawa UMNO ke mana-mana.

“Yang akan memenangkan kita ialah, dengan menyantuni isu, menyelesaikan permasalahan serta bebanan rakyat.

“Santunilah semua anggota masyarakat. Pengundi dan bukan pengundi. Melayu dan bukan Melayu. Santuni semua. Kerana UMNO adalah parti khidmat dan amal bakti untuk semua.

“Inilah sifir dan formula yang menjadikan kita pemerintah selama 60 tahun iaitu amal dan usaha kita,” kata Mohamad.

 

(Visited 74 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button