Jika nak guna kalimah Allah, yakini dan masuk sahaja agama Islam
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mengajak penganut Kristian yang ingin menggunakan kalimah Allah dan beberapa perkataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam, agar masuk Islam kerana kalian secara tidak langsung mengakui bahawa Allah itu Tuhan yang ESA (satu).
“Saya ingin bertanya kepada mereka, kenapa teringin sangat menggunakan nama Allah di dalam Kitab Injil, sedangkan sejak sekian lama mereka telah menggunakan Tuhan ataupun God dalam bahasa Inggeris?
“Perkara ini amat serius dan ianya boleh membawa kepada ketegangan agama dan juga boleh mengelirukan umat Islam lainnya,” katanya.
Di Amerika contohnya, kata beliau, ramai yang sudah tidak teguh iman mereka dan mengatakan “God is Dead”. “Apa perasaan orang Islam apabila ini diganti dengan “Allah sudah Mati”? Adakah ini akan membawa kepada perasaan marah umat Islam?”
Kata beliau, dalam kitab Taurat dan Talmud Hebrew dan kitab Injil dalam bahasa latin pun, dan Greek dalam bahasa eropah tidak ada menyebut Allah.
Tambah beliau, di dalam kitab injil menyebut Jesus (Isa) adalah Tuhan dan dalam kita Injilpun tidak ada perkataan Allah termasuk kitab-kitab di atas.
“Mungkin bagi pandangan mereka, kalimah “Allah” dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama. Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah. Terjemahan ini salah. Sepatutnya perkataan “Tuhan” digunakan untuk God dan kami tidak menganggap Jesus (Nabi Isa AS) sebagai Tuhan tetapi Nabi Isa AS adalah Nabi ke 24 sebelum turunnya Nabi Muhammad SAW yang membawa kitab akhir zaman iaitu al-Quran (pelengkap segala kitab sebelumnya,” katanya.
Oleh itu, kata beliau, sekiranya ingin menggunakan kalimah Allah, adalah lebih baik masuk Islam dan yakinlah bahawa al-Quran adalah kitab terakhir diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW selepas Taurat (Nabi Musa AS), Zabur (Nabi Daud AS, Injil (Nabi Isa AS).
“Saya menyeru kepada kerajaan agar campur tangan terhadap perkara ini atau kami akan meminta dan merayu perkenan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dapat membawa dan meneliti keputusan mahkamah Tinggi berkenaan perkara di atas.
“Kami amat menghormati kebebasan beragama dan juga penganut Kristian, tetapi jangan sesekali melampaui batas dan menyalahgunakan kalimah Allah sewenang wenangnya,” katanya.