Ritual “halau hantu” tak jadi, gadis 9 tahun terkorban
Polis Sri Lanka telah menangkap seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai penghalau hantu setelah seorang gadis berusia 9 tahun mati dipukul olehnya sebagai sebahagian daripada ritual perubatannya.
Menurut jurucakap Polis Sri Lanka, Ajith Rohana, wanita yang tidak dikenali identiti itu didakwa memukul gadis itu berulang kali menggunakan sebatang tongkat dengan mendakwa bahawa ianya adalah cara untuk mengusir roh jahat yang telah merasuk gadis berkenaan.
Gadis itu dibawa oleh ibu bapanya berjumpa dengan penghalau hantu itu di rumahnya di sebuah kampung di Meegahawatte luar ibu kota Colombo, Sri Lanka.
Sementara itu, jiran-jiran yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan berkata mereka mendengar tangisan gadis malang itu namun tidak sempat untuk menyelamatkannya, jelas Rohana.
“Dia (gadis) pengsan setelah dipukul beberapa kali. Dia bagaimanapun mati ketika dalam perjalanan ke hospital untuk menerima rawatan”, kata Rohana.
Menurut pihak polis lagi, ‘upacara” menghalau hantu kerap dilakukan di daerah ini sejak kebelakangan ini dimana ada beberapa kejadian ritual itu telah menyebabkan kecederaan fizikal termasuk menyebabkan kematian.
Malah, ramai penduduk di Sri Lanka meminta pertolongan dari pengamal mistik di kawasan itu antaranya dengan dukun, ahli sihir dan penghalau hantu untuk “menyelesaikan” masalah yang dihadapi dengan mereka.
Apa yang menarik lagi, baru-baru ini, Menteri Kesihatan Sri Lanka Pavithra Wanniarachchi, secara terbuka meminum sirap yang dibuat oleh “dewa lelaki” yang didakwa sebagai “penawar” untuk dia kebal dari virus Covid-19.
Walaubagaimanapun, menteri itu akhirnya positif Covid 19 dan memerlukan rawatan intensif.