Ekonomi

Wabak ASF: Henti import babi dari Sabah ke Semenanjung

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu bertindak segera melarang sebarang pengimportan babi dan produk babi dari Sabah ke Semenanjung Malaysia berikutan penyebaran wabak virus demam babi Afrika (ASF).

Jurucakap Parlimen PKR bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sim Tze Tzin hairan kerana kementerian masih belum bertindak menghalang pengimportan babi dan produk ke Semenanjung.

Menurutnya, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah melarang pengimportan babi dan produk babi dari Sabah ke Sarawak ekoran pengesanan wabak ASF di Sabah.

“Selepas satu tahun menangani pandemik Covid-19, kita sepatutnya sudah tahu mengapa kita perlu isolate kawasan wabak. Wabak ASF juga sejenis pandemik yang memerlukan tindakan cekap dan pantas untuk menghalang sebarang penularan.

“Tindakan larangan adalah sangat diperlukan untuk mengelakkan penularan ASF ke Semenanjung Malaysia. Larangan ini akan mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual daging yang jatuh harga kerana pandemik ke Semenanjung samada daging itu tercemar dengan ASF atau tidak,” kata Tze Tzin.

Sim Tze Tzin

Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, tindakan segera wajar diambil bagi melindungi industri babi di Semenajung daripada turut dijangkiti wabak berkenaan.

Katanya, penternakan babi merupakan industri besar dalam sektor pertanian di Malaysia. Industri tersebut bernilai kira-kira RM5 bilion dan memenuhi 90 peratus pasaran domestik Malaysia.

Sekiranya babi-babi di Semenanjung dijangkiti ASF ia bakal melibatkan ribuan penternak dan boleh mengakibatkan kehilangan pekerjaan.

“Jika penularan wabak ASF ke Semenanjung Malaysia, ia mungkin menyebabkan Industri lumpuh seperti berlaku pada tahun 1998, semasa wabak Nipah Virus merebak.

“Ribuan penternak dan pekerja akan mengalami kerugian dan kehilangan pekerjaan jika wabak ASF melanda Semenanjung.

“Maka, saya mohon perhatian yang serius daripada Menteri MAFI dan tindakan segera dilaksanakan,” kata Ahli Parlimen PKR itu.

Semalam media melaporkan Sarawak menghentikan import babi, daging babi dan produk babi dari Sabah berkuat kuasa serta merta susulan berita melaporkan lapan daripada 13 sampel babi dari Pitas, Sabah diuji positif dengan jangkitan virus demam babi Afrika (ASF).

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sekatan itu dibuat di bawah Seksyen 8 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini beliau menasihatkan orang ramai di Sarawak supaya tidak membeli atau membawa masuk babi serta produk babi dari Sabah, atau negara-negara jiran.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button