Promosi produk dianggap rasis, Syatilla Melvin minta maaf
PELAKON, Syatilla Melvin mengeluarkan kenyataan maaf selepas video promosi produk yang dilakukannya dianggap rasis dan mendapat kecaman netizen.
Di dalam video tersebut, Syatilla telah mewarnakan menghitamkan mukanya dan kemudian berubah menjadi cerah.
Ramai yang tidak berpuas hati dengan cara promosi produk tersebut yang dianggap seperti iklan yang tidak menghormati warna kulit orang lain.
Malah, seorang pengguna media sosial berbangsa India turut memuat naik video balas terhadap Syatilla dengan menganggap tindakan pelakon itu sebagai sesuatu yang bodoh.
Terkesan dengan kritikan yang diterima, Syatilla kemudian telah memuat naik satu video meminta maaf terhadap tindakannya itu.
Menerusi video yang telah dimuat naik itu juga, Syatilla turut perjelaskan perkara sebenar mengenai video itu supaya ianya tidak terus disalahertikan.
“Saya tak mahu buang masa, saya mahu terus minta maaf kepada anda semua yang terasa hati dengan saya. Sejujurnya, demi Allah saya tiada niat apa-apa langsung pun.
“Itu adalah video yang mana saya buat hanya untuk menunjukkan perempuan yang tak pandai pakai eyeliner, bagi perempuan yang pernah mengalami situasi itu, mungkin mereka faham,”
“Tetapi mungkin salah saya, sebab saya terlepas pandang sensitiviti sesetengah pihak. Saya minta maaf, saya harap anda maafkan saya,” katanya.
Syatilla yang juga isteri kepada pelakon, Shaheizy Sam itu turut memberitahu yang dia memaafkan sesiapa sahaja yang mengutuknya kerana video tersebut. -SM