Rombakan Kabinet minggu ini?
DENGAR ura-ura akan ada rombakan Kabinet dalam minggu ini.
Bagaimanapun ketika diminta komen ramai yang mendiamkan diri. Perkiraan mudah ialah diam tanda setujulah.
Tiba-tiba para menteri dan rakan-rakan petugas bahagian komunikasi pejabat menteri tidak mahu memberi komen dan seolah-olah khabar itu benar.
Kalaupun khabar itu tidak benar, rombakan kabinet memang perlu dilakukan kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cukup berpengalaman pastinya dapat menilai prestasi anggota kabinet dilantiknya.
Ada yang sibuk menata rias diri sendiri ketika rakyat bergelut berdepan dengan pandemik Covid-19 dan ekonomi yang memburuk. Sedangkan kementerian yang dipegang sepatutnya memainkan peranan yang sangat besar menangani gejala sosial termasuk penyakit mental yang sudah mula dikesan dalam kalangan masyarakat.
Jika rakyat mahukan menteri sebegini dari awal lagi mereka hanya perlu memilih ratu cantik sahaja dan bukannya ahli politik.
Banyak lagi keburukan yang berlaku tetapi tidak perlu dihuraikan dengan detail kerana sebagai perdana menteri, Muhyiddin sendiri mempunyai cara dan kaedah untuk mendapatkan maklumat serta mengenai anggota kabinetnya.
Rakyat sudah mula bertanya apa yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani harga barang yang tidak terkawal, ketika ramai yang hilang pekerjaan.
Formula asasnya hanyalah dengan mengatasi pandemik Covid-19. Jika dasar yang tepat mampu menangani wabak ini, negara kita akan pulih. Bagaimanapun jika dasar salah dipilih, ekonomi negara tidak akan pulih dan menjejaskan segala aspek kehidupan.