Politik

Undang-undang antitroll, anticerca dan segala anti

NAMPAKNYA ada cadangan supaya undang-undang baharu digubal bagi melindungi pemimpin negara atau lebih kurang undang-undang anticerca, antitroll dan pelbagai anti.

Cadangan itu dibuat oleh Senator Datuk Razali Idris yang merasakan para pemimpin negara perlu dilindungi daripada serangan netizen yang menjejaskan kesejahteraan negara.

Persoalannya mengapa sampai ke tahap itu pemimpin negara perlu dilindungi, kerana biasanya undang-undang diwujudkan bagi membela orang yang teraniaya dan lemah.

Contohnya undang-undang membabitkan penderaan wanita dan kanak-kanak. Ia digubal bagi melindungi golongan yang lemah dan tidak dapat mempertahankan diri.

Tidak ada undang-undang untuk melindungi lelaki daripada wanita dan kanak-kanak, walaupun ada kes yang berlaku penderaan sedemikian tetapi ia bukan sesuatu yang terlalu banyak hingga tidak terkawal.

Jadi cukuplah dengan ada undang-undang tersedia seperti Akta Pencegahan Jenayah dan sebagainya.

Peguam Haniff Khatri Abdullah berpendapat undang sedemikian lebih teruk berbanding dengan undang-undang antiberita palsu yang cuba diperkenalkan ketika pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun akhirnya ia tidak dilaksanakan.

Undang-undang itu ditentang hebat oleh pembangkang kerana dikhuatiri akan dimanipulasi dan digunakan terhadap para pemimpin pembangkang.

Apakah pemimpin sekarang lebih teruk? Apakah kerajaan PN lebih teruk daripada kerajaan BN, sehingga memerlukan undang-undang yang tidak masuk akal itu.

Sedangkan pemimpin yang dikritik dan tidak berpuas hati boleh membuat laporan polis dan tindakan diambil mengikut undang-undang sedia ada atau mengemukakan saman sivil seperti yang bakal dibuat oleh pejabat perdana menteri terhadap seorang pemimpin UMNO.

Orang politik sepatutnya mereka sedar apabila memegang jawatan di dalam kerajaan atau merampas kerajaan secara tidak demokratik mereka bakal berdepan dengan kecaman netizen yang tidak berpenghujung.

Sepatutnya jika mereka mempunyai integriti pilihan raya perlu dilaksanakan segera demi memastikan demokrasi berada di landasan betul kembali dan bukannya melambatkan proses pemulihan itu.

Apabila proses itu ditangguh keyakinan rakyat semakin terhakis semakin lama ia bertukar kepada kebencian dan tentulah ia tidak baik untuk negara.

Puncanya bukan dari rakyat, tetapi dari kerajaan sendiri yang tidak mentadbir dan mengemudi negara ini mengikut lunas dan landasan undang-undang serta perlembagaan.

Memilih kaedah tidak absah untuk mengekalkan kuasa dalam apa cara juga adalah tidak betul dan tidak akan disenangi majoriti rakyat.

Kembalikanlah kepercayaan rakyat, nescaya cercaan dan troll ini akan hilang bersamanya.

NOTA:

Haniff Khatri akan tampil secara live di Suara Merdeka pada pukul 2.30 petang ini bagi membincangkan buku tulisan bekas peguam negara Tommy Thomas.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button