Rencah Hidup

Ebit Lew taja RM40,000 pengajian Nurul Asma Alya

NASIB bekas pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) cemerlang Nurul Asma Alya Mohd Zainal, 22, yang gagal mendapat tempat pengajian di luar negara mendapat perhatian pendakwah Islam Ebit Lew.

Beliau yang mengetahui kisah pelajar Diplomat Perakauan dengan kelulusan 3.95 CGPA itu memberi tajaan penuh sebanyak RM40,000 untuk Nurul Asma melanjutkan pelajaran di dalam negara.

Selain wang tajaan yang termasuk kos penginapan itu, Ebit turut menghadiahkan komputer riba serta peralatan wifi untuk Nurul Asma Alya

“Pagi ini ke Tumpat. Saya sampai dekat pintu terus adik Nurul Asma Alya dan maknya menangis kuat. Ya Allah doa saya dikabulkan.

“Saya akan taja penuh RM40 ribu lebih untuk dua tahun setengah termasuk penginapan. Tadi saya dah call universiti dan mereka terima kemasukannya bulan April. Kami hadiahkan juga laptop. Dan router serta wifi. Wifi oleh digi free setahun. Beri sedikit duit sumbangan buat mak adik ini.

“Saya jadi sedih sebab keluarga ini asyik menangis cakap terima kasih. Semoga adik esok-esok dapat bahagiakan mak dan bantu ramai orang diluar sana yer,” kata Ebit.

Kisah Nurul Asma Alya mendapat perhatian sebelum ini selepas dia yang menerima tawaran melanjutkan pengajian peringkat ijazah di luar negara dalam bidang perakaunan terpaksa dilupakannya kerana kekangan kewangan.

Selain itu, dia dan keluarganya turut mengalami masalah berdepan ketiadaan beras dan lauk di rumahnya.

Penutupan kantin sekolah pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ibunya tidak dapat bekerja.

Dia dilaporkan menitiskan air mata kerana tidak dapat menduduki peperiksaan International English Language Testing System (IELTS) yang perlu dibayar dengan harga RM800 pada Oktober tahun lepas.

“Saya diberi peluang sambung pelajaran ke luar negara. Tetapi oleh sebab COVID-19 dan tak mampu nak bayar peperiksaan untuk sambung ke oversea sebanyak RM800, saya terpaksa lupakan cita-cita saya.

“Oleh itu, saya nak sambung belajar di Malaysia.Dalam tempoh sekarang nak dapatkan laptop, akses internet dan sebagainya, tetapi sukar kerana kehidupan keluarga susah,” katanya lagi.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) pernah menawarkan pinjaman secara bersyarat kepada Nurul Asma Alya.

Mara dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan tawaran pinjaman tersebut adalah bagi Program Lepasan Diploma Cemerlang di bawah Skim IPMA Excellent Students’ Programme (IESP) Ambilan Kedua Tahun 2020.

“Ianya merupakan syarat ditetapkan kepada semua para pelajar yang ditawarkan iaitu menduduki peperiksaan International English Language Testing System (IELTS).

“Alya telah menduduki peperiksaan itu sebenarnya, bagaimanapun keputusan IELTS yang peroleh tidak memenuhi syarat telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, Mara telah menawarkan sekali lagi kepada pelajar berkenaan untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam negara dengan memberi pinjaman boleh ubah.

Bagaimanapun katanya, pelajar berkenaan lebih berminat untuk mendapatkan biasiswa dari agensi lain bagi menyambung pengajiannya berbanding pinjaman boleh ubah ditawarkan Mara.-SM

(Visited 1,489 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button