Pemuda UMNO pula buat laporan terhadap Tommy Thomas
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan-dakwaan Bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menerusi buku tulisannya.
Laporan polis itu dibuat oleh Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Nur Aizat Noor Azam dan Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin di Balai Polis Jalan Travers, Brickfield, Kuala Lumpur tengahari tadi.
Menurut Aizat, Pemuda UMNO melihat tulisan dan dakwaan Tommy Thomas di dalam bukunya itu sebagai semberono dan boleh mengundang pelbagai persepsi buruk terhadap masyarakat.
“Pemuda UMNO membuat laporan polis ini kerana melihat isu tulisan dan dakwaan Tommy Thomas itu adalah serius dan semberono. Tommy Thomas seharusnya malu terhadap dirinya sendiri dengan menghasilkan buku yang lebih kepada satira politik untuk mencari salah pihak lain dan cuba menutup kesalahan diri sendiri semasa menjadi Peguam Negara”, kata Aizat dalam kenyataannya kepada media hari ini.
Tambahnya, Pemuda UMNO juga menggesa agar Tommy Thomas segera disiasat serta menarik balik bukunya itu kerana dakwaan yang ditulis di dalam buku itu adalah sangat tidak bertanggungjawab dan bermotif jahat serta mempunyai agenda disebaliknya.
Dalam laporan polis itu, Aizat juga melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan melulu Tommy Thomas ke atas kakitangan Jabatan Peguam Negara yang boleh mendatangkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat dan masyarakat antarabangsa.
“Pemuda UMNO juga melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan beliau yang telah dinafikan oleh pihak-pihak yang didakwa, sekaligus boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat dan itu juga akan membawa kepada percanggahan fakta yang boleh mencalar imej badan kehakiman dan sistem perundangan negara,” katanya.