Perdagangan luar Malaysia dijangka kekal sederhana pada 2021
PERDAGANGAN luar Malaysia pada bagi 2021 dijangka kekal sederhana dengan eksport diunjurkan meningkat 2.7 peratus, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Memetik laporan BERNAMA, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata unjuran 2021 dijangka lebih baik memandangkan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) masing-masing mengunjurkan pertumbuhan global pulih pada 4.0 peratus dan 5.5 peratus.
“Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menjangkakan jumlah perdagangan barangan dunia mencatatkan pertumbuhan 7.2 peratus pada 2021.
“Seiring dengan peningkatan pertumbuhan global dan perdagangan antarabangsa, kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan pulih kepada antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus, lebih tinggi daripada unjuran pertumbuhan untuk ASEAN-5, iaitu 5.2 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata eksport Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak September 2020 dengan pertumbuhan positif dari tahun ke tahun.
Permintaan lebih tinggi terhadap produk semikonduktor dan berasaskan komoditi dijangka memacu eksport apabila aktiviti ekonomi global kembali rancak, katanya.
Mohamed Azmin berkata lebihan dagangan yang dicatatkan pada 2020 merupakan pertumbuhan dua digit bagi tahun keempat berturut-turut, dengan peningkatan 26.9 peratus kepada RM184.79 bilion berbanding 2019.
Beliau berkata ini juga merupakan lebihan dagangan terbesar setakat ini, mewakili pencapaian Malaysia dalam mengekalkan lebihan dagangan selama 23 tahun berturut-turut sejak 1998.
Jumlah perdagangan pada 2020 bernilai RM1.777 trilion, susut 3.6 peratus daripada angka pada 2019 manakala import bernilai RM796.19 bilion, penurunan sebanyak 6.3 peratus, katanya.
Beliau menjelaskan eksport Malaysia pada 2020, bernilai RM980.99 bilion, berkurangan sebanyak 1.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, sejajar dengan persekitaran luaran yang tidak menggalakkan berikutan kesan pandemik COVID-19.
Eksport meningkat semula pada separuh kedua 2020, menokok sebanyak 4.8 peratus, kenaikan ketara berbanding penguncupan 7.9 peratus pada separuh pertama 2020 susulan ekonomi dibuka semula secara perlahan dan permintaan luaran beransur pulih, katanya.
Beliau berkata eksport lebih rendah dicatatkan adalah ke Thailand, India, Bangladesh, Vietnam dan Jepun manakala eksport lebih tinggi direkodkan ke China, Amerika Syarikat, Singapura dan Hong Kong.
“Prestasi perdagangan Malaysia adalah seiring dengan negara-negara di rantau ini, terutama Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan Thailand.
“Perdagangan dengan rakan-rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedia ada pada 2020 bernilai RM1.185 trilion, mencatatkan penurunan sebanyak 3.7 peratus dan menyumbang 66.7 peratus kepada keseluruhan perdagangan Malaysia,” katanya.