Hiburan

Kembara Sufi Production hulur bantuan kepada mangsa banjir

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitu juga dengan pengalaman yang dilalui oleh penduduk di beberapa kawasan sekitar Pahang yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Bukan sahaja rumah rumah dan peralatan musnah, ada juga di antara mereka yang mengalami tekanan emosi saat diberikan ujian menghadapi dugaan sebegini.

Bagi Penerbit Eksekutif Kembara Sufi Production, Ustaz Muhammad Al-Fadzil Hidzir yang juga anak kelahiran Jengka 18, Pahang, mereka terpanggil untuk membantu dan menghulurkan sumbangan kepada penduduk di beberapa kawasan di di negeri itu baru-baru ini.

“Bila kami sendiri turun sendiri ke beberapa kawasan yang terjejas, hati terus jadi sebak. Banyak harta benda yang musnah memandangkan banjir kali ini bukan sahaja membawa air tetapi lumpur. Ini yang menyukarkan lagi usaha pembersihan setelah surut banjir.

“Untuk mencuci lumpur pula, bukan mudah tambahan pula nak menghilangkan bau lagi. Ini cabaran yang terpaksa dihadapi oleh semua mangsa sebaik sahaja pulang ke rumah dari pusat pemindahan,” dedahnya.

Meskipun ramai badan bukan kerjaaan (NGO) yang ingin turut serta dari negeri lain, namun semuanya terhad disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mahu mengurangkan risiko penyebaran Covid19.

Pun begitu, sebagai sebuah syarikat produksi yang berpusat di Shah Alam dan Kuantan, Pahang, mereka turut merasa bertanggungjawab untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.

Pasukan Kembara Sufi turun ke beberapa kawasan yang dilandar banjir seperti Maran, Pekan, Bera, Chenor dan Temerloh bagi mengagihkan barang-barang bantuan yang diperlukan seperti makanan asas, dapur gas, makanan kesihatan tambahan KS Legacy, alatan solat, wang ringgit dan beberapa barangan lain mengikut kesesuaian.

“Setiap daerah kita beri bantuan berbeza-beza melalui wakil. Di Maran misalnya, semua bantuan kami serahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang

“Ada juga daerah yang kami berikan kepada pemimpin tempatan. Mereka jugalah yang akan memilih keluarga mana yang layak menerima. Ada kawasan kami turun sendiri,” katanya.

Tambah Ustaz Fadzil lagi, di saat negara berhadapan dengan pandemik Covid19 dan keadaan ekonomi yang tidak menentu, sesiapa sahaja akan terkesan apabila didatangkan lagi dengan ujian lain.

Penerbit Eksekutif Kembara Sufi Production, Ustaz Muhammad Al-Fadzil Hidzir (kiri)

“Bagi yang mampu, bersedekahlah seperti mana yang dituntut oleh Rasulullah SAW. Sedekah ini banyak manfaat dan dengan bantuan yang diberikan sedikit sebanyak akan meringankan beban mereka,” tambahnya yang sudah menerbitkan banyak drama popular tempatan serta terbitan travelog dalam dan luar negara.

Untuk rekod pada kali ini nilai bantuan dianggarkan lebih RM50,000 dan dapat membantu 500 keluarga untuk kembali memulakan hidup baharu.

Terdahulu, sejak PKP pertama tahun lalu, syarikat ini juga telah membelanjakan lebih RM150,000 diagihkan kepada 1,500 buah keluarga melaksanakan bantuan berbuka puasa kepada keluarga yang memerlukan di Pahang dan Perak.

“Kami juga lebarkan sayap menghasilkan produk kesihatan di bawah jenama KS Legacy. Sesiapa yang terkesan dengan keadaan ekonomi sekarang boleh mencari peluang dengan menjana pendapatan bersama kami,” katanya yang turut berterima kasih kepada beberapa pihak yang terlibat dalam misi bantuan banjir kali ini. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button