Rencah Hidup

Dua beradik perempuan jadi mangsa amang seksual bapa kandung

BAPA binatang. Tiada perkataan lain yang lebih sesuai untuk menggambarkan perbuatan terkutuk seorang bapa terhadap dua orang anak kandungnya. Tergamak bapa ini melakukan amang seksual terhadap dua anak perempuannya di Sitiawan, Perak, tahun lepas.

Perbuatan durjana sebegini terus berlaku di Malaysia. Ia bukan  lagi satu kes terpencil tetapi ia adalah satu perbuatan yang memerlukan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah.

Masa depan mangsa gelap. Mangsa akan melalui frasa trauma sepanjang hidupnya dan lebih parah lagi, mangsa amang seksual bapa kandung sendiri akan menjalani kehidupan yang tidak sama seperti orang lain.

Hidup dalam ketakutan, hidup dalam rasa malu dan aib sedangkan perbuatan itu dilakukan oleh seorang lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak terutamanya anak perempuan.

Sama ada si pelaku ini sakit mental, sakit jiwa atau pun bersifat seperti seekor haiwan, menjadikan anak kandung sendiri sebagai mangsa nafsu serakah tidak boleh dimaafkan atau pun dipandang sebelah mata.

Masyarakat sekeliling perlu tampil memainkan peranan. Bukannya mempunyai mentaliti, kalau mengambil tahu hal jiran sebelah bermakna busy body atau suka jaga tepi kain orang.

Cukuplah berfikiran seperti itu kerana jika jiran mangsa seorang yang prihatin, kemungkinan perbuatan amang seksual yang dilakukan oleh bapa ini dapat dihindari.

Tidak padan sengan jawatan yang disandang, seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak perempuan kandungnya di Sitiawan tahun lalu.

Memetik laporan BERNAMA, lelaki berusia 42 tahun itu bekerja sebagai atendan di sebuah klinik kerajaan.

Dia membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual ke atas anak perempuannya yang berumur enam tahun.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.30 pagi, 10 April 2020 di sebuah rumah di Sitiawan dalam daerah Manjung.

Dia juga didakwa melakukan perkara yang sama ke atas seorang lagi anak perempuannya yang berusia sembilan tahun. Kejadian itu berlaku pada April tahun lepas antara pukul 9 hingga 12 tengah malam di rumah sama.

Ini bermakna, perbuaan durjana bapa ini dilakuan dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan wabak Covid-19.

Dan pada masa berlakunya perbuatan itu, kita sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Kerajaan berusaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 pada tahun lepas.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta menjalani pengawasan polis sehingga tiga tahun.

Hukuman yang sedia ada wajar dikaji semula dan dinaikan lagi tempoh hukuman penjara dan jumlah sebatan digandakan.

Ini kerana perbuatan pelaku terhadap dua orang anak kandungnya, kanak-kanak perempuan dua beradik, tidak setimpal dengan hukuman duniawi yang dikenakan jika sabit kesalahan.

Menghukum untuk mengajar memang benar tetapi apakah hukuman ke atas pelaku atau pesalah amang seksual yang melakukan perbuatan itu terhadap dua anak kandungnya, satu pengajaran untuk si bapa?

Pengajaran apa yang diperoleh kalau dua beradik perempuan ini memerlukan kaunseling dan bimbingan untuk tempoh waktu yang sukar untuk dipastikan bagi memastikan mereka ini boleh hidup dalam keadaan normal.

Sama ada pelaku ini berjawatan penjawat awam atau pekerja swasta ataupun buruh kasar, dia adalah ancaman kepada keluarganya sendiri dan masyarakat sekeliling, amnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button