Kartel daging: 8 suspek ditahan reman, 27 saksi dipanggil
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 4 Januari lalu telah menahan lapan suspek berkaitan dengan siasatan isu kartel daging sejuk beku.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga telah mamanggil sebanyak 27 saksi berkaitan siasatan kes tersebut.
“Mereka yang terlibat terdiri daripada pekerja syarikat, ejen pengimport serta pegawai kerajaan.
“Kita menyiasat kes berkenaan mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen,” katanya.
Jelasnya, SPRM masih aktif menjalankan siasatan dengan menganalisis maklumat, pengumpulan bukti-bukti serta akan membuat beberapa lagi tangkapan bagi melengkapkan siasatan.
Terkini, pada 17 Januari 2021, SPRM Johor telah menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun di Johor Bahru dan suspek direman selama enam hari bermula hari ini selepas permohonan reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru. -SM