Penganjur program edar ayam sejuk beku percuma dikompaun
POLIS telah mengeluarkan kompuan terhadap penganjur program pengedaran ayam beku percuma yang diadakan di Presint 9, Putrajaya kelmarin.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Fadzil Ali berkata, pihaknya sebelum itu telah mengeluarkan surat tidak meluluskan penganjuran program tersebut.
“Kita tidak beri kelulusan memandangkan Putrajaya berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Program pengedaran ayam beku percuma itu dibuat secara pandu lalu dengan konsep ‘first come first serve’ yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran orang yang ramai.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati penjarakan fizikal sukar dilaksanakan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga gagal dipatuhi penganjur serta orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kompuan telah dikeluarkan kepada penganjur di bawah Seksyen 22 (B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Ujarnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam menguatkuasakan undang-undang sepanjang PKP dilaksanakan.
Penganjuran program yang dilakukan Pemuda UMNO Putrajaya itu mengundang kerisauan netizen selepas beberapa gambar tular di laman sosial.
Kehadiran orang ramai yang ingin mengambil sebanyak 2,000 ekor ayam sejuk beku percuma itu dikhuatiri akan menimbulkan kluster baharu Covid-19. -SM