BeritaPolitik

Anwar, PM-8, takdir…

 

Analisis

BERAPA kali agaknya Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berjanji untuk menyerahkan jawatan `PM-8’ kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Dua kali, lima kali, tujuh, 10? Terbaharu, negarawan berusia 94 tahun itu berjanji akan menyerahkan jawatan PM kepada Anwar selepas APEC November tahun depan. Tetapi sekali lagi, tarikhnya belum dimuktamadkan.

Ketika isu peralihan kepimpinan kerajaan ini diperkatakan, malangnya Anwar sedang menghadapi tuduhan seksual terbaharu dan pada masa sama, diterjah timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali – yang lebih kurang dua kali lima turut `dibaham’ tuduhan `video seks’.

Apakah kali ini juga Anwar akan tersungkur? Gigit jari?

Sesiapa yang berumur 40 tahun ke atas waktu ini, pasti maklum dalam sejarah politik tanah air (tepatnya merujuk kepada UMNO), tiada hubungan akrab yang lebih nyata antara Perdana Menteri dan timbalannya daripada hubungan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar.

Mula-mula dari lawan jadi kawan. Kemudian dari kawan bertukar lawan. Kini, kembali berkawan.

Semua ini selain menjadi sejarah, juga memberi pengajaran yang jelas dan grafik. Sekurang-kurangnya kepada mereka yang mahu mempelajari sesuatu daripada sifat-sifat sinis politik. Politik yang baik memang diakui mampu membina bangsa, agama dan negara.

Tetapi jika salah bawa, politik boleh memusnahkan `positive human values’ atau sifat positif manusia itu sendiri. Seseorang itu ditolong bersungguh-sungguh, misalnya untuk menduduki tempat tertinggi, tapi tak sampai beberapa bulan `mencengkam balik’.

Ini juga bermakna seorang ahli politik tidak boleh kelihatan terlalu pandai sehingga ketua yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak. Mesti ada sedikit sifat Machiavelli di sini. Namun orang yang tidak mempunyai persepsi klasik Itali ini tidak akan bertahan lama dalam politik.

Tidak ada pemimpin yang suka terhutang budi kepada ketua-ketua yang lebih rendah . Peningkatan dan kejayaan seorang ahli politik sentiasa diukur atas kedudukan yang beliau peroleh.

Sudah tentu, impian mutlak bagi seorang ahli politik adalah jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Tetapi jawatan cloud nine ini secara ringkasnya bukan untuk semua orang. Hanya ada satu tempat untuk jawatan PM dan TPM.

Jangan dilupai bahawa nasib dan ketentuan masa adalah penting. Suatu ketika Allahyarham Tun Gazali Shafie atau King Ghaz amat disohorkan untuk jadi Timbalan Perdana Menteri sebelum tahun 1976. Tetapi `baris tangannya’ atau tuah badan tiada melambangkan untuk jadi TPM.

Tuah ada pada Dr. Mahathir. Misalnya, Dr. Mahathir dilaporkan sebagai terkejut apabila diberitahu semasa beliau berada di Batu Pahat beliau telah dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Hussein Onn sebagai timbalannya.

Realitinya, tidak perlu `lintang-pukang’ sangat mencari kedudukan dalam parti.

`Tuah’ tetap mendatang jika seseorang jujur dan tekun bekerja serta amanah menjalankan tugas.

Bagi Dr. Mahathir, tuah atau luck itu sudah mendatang kepadanya, susulan tenaga dan kekuatan peribadinya. Orang Melayu menyebut tuah badan ini sebagai bulan jatuh ke riba.

Pujangga Inggeris Shakespeare memanggilnya sebagai `greatness being entrusted upon’. Peluang begini sudah tidak ada lagi dalam politik termasuklah UMNO.

Budi bahasa politik dalaman mesti dilandaskan kepada sistem yang bersih. Sistem yang berasas kepada budaya khidmat dahulu, habuan kemudiannya.

Waima apa pun dalam politik, apa-apa yang mungkin berlaku itu boleh berlaku.

Seperti tangan panjang jam, naik dan turun dalam satu bulatan. Tepat ketikanya, ia datang kembali pada waktu tertentu. Kemudian, seperti sebuah jam dinding, loceng akan berbunyi.

Sama ada ya atau tidak, ia akan berbunyi untuk Anwar sekali lagi apabila tangan pendek dan panjang datang berpusing lagi.

Hanya masa dan keadaan akan menentukan untuk beliau menaiki tangga ‘PM-8’.

– SUARA MERDEKA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button