NasionalNegeri

Ada unsur sabotaj bekalan air bersih di Selangor – MB

BALING batu sembunyi tangan. Siapakah agaknya yang empunya tangan dan membaling batu ke arah kerajaan Negeri Selangor yang ‘terkenal’ dengan krisis air, bekalan air terputus serta pencemaran sungai dan loji?

Momokan krisis air yang berlaku di Selangor bukan hanya timbul baru-baru ini atau kebelakangan ini bahkan sejak era pemerintahan bekas Menteri Besar Selangor sebelum zaman Datuk Seri Amirudin Shari.

Tidak perlu menamakan siapakah bekas MB Selangor sebelum Amirudin. Umpama pantun moden yang berbunyi, “anak Cina makan pengat, sendiri mau ingat!”

Menurut kenaytaan Amirudin, ada pihak yang sabotaj bekalan air bersih di Selangor sehingga berlakunya pencemaran air di negeri itu.

Beliau berkata, krisis bekalan air bersih juga kerap berlaku kerana masalah itu tidak diselesaikan sepenuhnya ketika zaman kerajaan negeri Selangor berada di bawah kepimpinan dua bekas Menteri Besar.

“Semasa zaman Khalid Ibrahim, Selangor berhadapan dengan masalah kekurangan air mentah iaitu off-river storage.

“Ada air hujan lebih disimpan dalam kolam takungan besar, ia akan dimasukkan ke dalam sungai jika tidak cukup air.

“Itu zaman Khalid. Zaman Azmin Ali pula, ada dua masalah yang timbul iaitu loji rawatan tidak cukup kapasiti dan masalah pencemaran,” katanya.

Berdasarkan faktor-faktor permasalahan yang berlaku itulah hari ini, negeri Selangor kerap berhadapan dengan pelbagai masalah kerana pelbagai sebab.

Katanya, kes terbaharu yang sampai ke pengetahuan beliau ialah kolam ikan keli dan satu lagi premis di Rawang yang ada 40 tong bahan kimia yang belum dilepaskan dan akan dilepaskan pada masa hadapan.

“Nampak sangat ada unsur sengaja untuk membuang sisa-sisa toksik ini atau memang tidak cerdik membuangnya ke dalam loji rawatan yang kemudiannya akan mencemarkan air,” ujar beliau.

Oleh itu, Amirudin mendedahkan kerajaan negeri akan melaksanakan satu projek bermula Januari 2021 bagi membolehkan rakyat Selangor terus menikmati bekalan air bersih walaupun berlaku pencemaran.

Amirudin berkata, projek 12 bulan itu ada di dalam belanjawan kerajaan negeri dan peruntukan RM200 juta untuk projek berkenaan.

“Kita akan mula tender dan insya-Allah, selesai pada bulan Januari 2022 nanti.

“Selangor ada dua lembah sungai yang penting iaitu Sungai Langat dan Sungai Selangor dan air dari kedua-dua sungai ini boleh diambil dari off-river storage.

“Jika berlaku pencemaran, kita masih boleh bertahan antara lima ke enam hari untuk kegunaan dan tidak putus bekalan air,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button