Sahabat Jariah hulur sumbangan buat hero yang tidak didendang
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Sahabat Jariah Malaysia menghulurkan bantuan kepada bekas komando Vat 69 yang tinggal serba kekurangan di rumah usang miliknya di Kampung Senta, Pos Gedung, Bidor, Perak.
Bantuan yang diberi berbentuk barangan keperluan asas makanan seperti beras, gula, telur dan bekalan air mineral serta sejumlah wang kepada Abri a/l Bah Ali, 60.
Disempurnakan oleh penaung pertubuhan ini, Johan Halid, 58, ia merupakan suatu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertubuhan berkenaan bagi membantu kehidupan khususnya masyarakat Orang Asli.
Bukan sahaja sumbangan keperluan makanan asas, pertubuhan ini juga berhasrat untuk mendirikan sebuah rumah baharu kepada Abri dan anak lelakinya yang juga merupakan seorang orang kurang upaya (OKU).
“Objektif Sahabat Jariah adalah menyediakan sebuah rumah yang lebih selesa untuk Abri sekeluarga. Rumah ini akan dilengkapi dengan sebuah bilik tidur, sebuah bilik air dan ruang dapur.
“Kos pembinaan rumah berkenaan kira-kira RM20,000 disumbang oleh syarikat korporat Gading Kencana Sdn Bhd., ” jelasnya.
Jika dilihat dengan mata hati, tiada siapa manusia yang sanggup melihat keadaan rumah yang didiami oleh Abri yang serba usang seperti reban ayam.
Ketika diziarahi, Abri menceritakan dia tinggal bersama seorang anak lelakinya, Bah Kuning, 13, manakala seorang lagi anaknya tinggal bersama bekas isterinya setelah mereka berpisah sejak 12 tahun lalu.
Abri hidup dengan mengambil upah menjual petai dan buat kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan dia dan anaknya.
“Saya tak boleh nak buat kerja berat selepas saya kemalangan dan patah pinggang. Saya terpaksa berdikari,” katanya.
Ketika ditemubual, ditanya adakah dia menerima bantuan daripada mana-mana pihak, Abri berkata dia segan dan enggan meminta bantuan daripada orang lain kerana merasakan apa yang diperolehnya sudah cukup.
“Saya tidak mahu minta bantuan orang lain. Saya segan dan tidak mahu susahkan orang lain. Macam ini pun sudah cukup. Saya sudah biasa…dulu pun hidup susah. Lagi susah…masa zaman komunis tinggal dalam hutan, makan pun apa ada saja”, katanya.
Katanya lagi, apabila hujan, rumahnya dimasuki air kerana bumbung yang bocor.
“Kalau hujan masuk air. Sebab atap bocor. Tapi tak apa saya sudah biasa.
“Saya sudah biasa berdikari. Banyak orang gelak tengok rumah saya. Ada yang melawak kata rumah saya macam rumah kotak. Tapi saya tak kisah tak ambil hati. Saya faham mereka melawak sahaja,” katanya sambil menunjukkan ke arah atap bumbung rumahnya yang terlalu uzur.
Dia melahirkan rasa syukur atas bantuan dan keprihatinan yang dihulurkan kepadanya.
Katanya, “terima kasih saya bersyukur ada orang nak bagi bantuan. Saya tak minta. Semoga murah rezeki semua,” luahnya. – SM