Tak mudah nak yakinkan apa yang kita nak lakukan adalah untuk kebaikan kakitangan awam
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menasihati para perwakilan agar memahami agenda untuk melakukan perubahan dalam negara adalah tidak mudah.
Ini kerana katanya, ia melibatkan kesukaran berhadapan dengan pegawai penjawat awam yang dahulunya berkhidmat untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tindakan pemecatan adalah tidak berseuaian.
Menjelaskan perbahasan beberapa perwakilan yang menegur pimpinan sebagai tidak mendengar teguran, Khalid menjelaskan bahawa sememangnya wujud kekangan berhadapan segelintir pegawai yang masih memandang kerajaan sebagai pembangkang.
“Kita dan Tun sendiri sebut, kita semua kena faham. Kita ambil alih servis sivil iaitu penjawat awam yang selama ini nampak kita pembangkang yang mengkritik dia sepanjang masa.
“Tiba-tiba kita jadi ketua dia. Lalu ini bukan mudah nak ambil alih jentera kerajaan yang juga manusia dan ada pemikiran sendiri. Tak mudah nak yakinkan mereka bahawa apa yang kita nak lakukan adalah untuk kebaikan mereka.
“Lebih-lebih lagi pemimpin yang rapat dengan mereka akhirnya turun dan kita pula ambil alih kerajaan. Lalu ianya memakan masa. Terpaksa kita lalui dan kita tak boleh ambil alih kemudian terus pecat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, semasa Majlis Konvensyen Nasional 2019 AMANAH, di Pusat Konvensyen Ideal Centre (IDCC), hari ini.
Tambahnya lagi, perwakilan yang berada sebahagian dari komponen kerajaan hari ini perlu memahami kejanggalan para pegawai penjawat awam yang perlu berkhidmat di bawah pentadbiran baharu.
Namun katanya, tindakan tetap juga diambil terhadap pegawai yang dikenalpasti tidak dapat memberi kerjasama atau mensabotaj kerajaan, yang akhirnya dipindahkan ke jabatan lain seperti isu yang berlaku dalam kementerian Pertanian.
“Kita kena ikut sistem yang ada dan beri peluang pada mereka. Pegawai penjawatan awam berkhidmat pada kerajaan baharu yang berlaku kali pertama dalam sejarah, tak pernah dilakukan. Lalu semua jadi kekok,” katanya. – Malaysiadateline