Bangunan runtuh, tiga pekerja cedera
TIGA pekerja termasuk dua pekerja warga asing cedera selepas bangunan yang sedang dibaik pulih runtuh tengah hari tadi di kawasan perusahan ringgan, Jalan Perusahaan Kiri, Kuala Lumpur.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasa kira-kira pukul 12.27 tengah hari.
Menurut Komander Operasi Kanan, Imam Bukhari Susami berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lapan orang anggota dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera dilokasi kejadian didapati berlaku runtuhan bangunan semasa menjalankan kerja-kerja baik pulih.
“Terdapat tiga orang mangsa yang terlibat dalam kejadian. Seorang lelaki warganegara asing berumur 38 tahun mengalami kecederaan ringan dan keluar daripada lokasi runtuhan dengan sendiri,” katanya.
Jelasnya, dua lagi mangsa berusia 28 dan 36 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan patah kaki juga berjaya diselamatkan.
Tambahnya, ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 1.41 petang. -SM