Nasional

Raja Muda Perlis titah pendidikan penyelesai pelbagai masalah

Pendidikan adalah satu aspek penting dalam kehidupan manusia. Pendidikan yang sempurna sudah pasti akan mampu menjadi penyelesai kepada sebarang masalah yang dihadapi. Asas kepada pendidikan yang sempurna adalah melalui proses pedagogi atau penyampaian ilmu yang tersusun dengan menerapkan budaya berfikir aras tinggi yang akhirnya dapat merangsang pemikiran secara intelektual dan penuh beradab serta beretika.

Dalam merangsang pemikiran kritikal di kalangan rakyat, integrasi ilmu yang seimbang tanpa berkompromi dalam aspek integriti harus diberikan keutamaan sedari bangku sekolah. Sudah pasti guru-guru yang mempunyai hati nurani sebagai pendidik serta sentiasa bertindak bijaksana yakni ‘work smart’ dan bukan semata-mata bekerja keras atau ‘work hard’, menjadi faktor utama dalam melahirkan golongan manusia hebat, sekaligus akan mewujudkan ketamadunan di negeri Perlis yang dicintai ini.

Atas maksud itulah,Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Jawatankuasa Pelajarannya yang dipengerusikan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin sentiasa memikirkan kaedah dan cara yang terbaik bagi membantu meningkatkan kualiti dan impak pendidikan kepada masyarakat secara umumnya dan asnaf secara khususnya dalam mengapai hasrat ‘Rakyat Perlis Hidup Berpelajaran’.

Adalah diyakini bahawa cita-cita dan inpian terhadap kecemerlangan pendidikan di Negeri Perlis ini akan menjadi kenyataan dengan izin Allah, disertai segala perancangan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri sesi taklimat mengenai cadangan ‘Projek Pendidikan Untuk Membangunkan Minda Fikir Para Pelajar, Pendidik dan Masyarakat Negeri Perlis’ yang dipersembahkan oleh Pengarah Center For Teaching Thinking and Innovation (CenT-TI) yang berkolaborasi dengan Universiti Malaya iaitu Dr Zahari Othman di Dewan Kulliyah MAIPs Behor Temak, Kangar.

Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir ialah Mufti Perlis Datuk Ariff Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman.

Tambah Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, perubahan besar dan cabaran dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pacsa pandemik Covid-19 adalah semua pihak harus ’kreatif’ dalam memastikan proses pendidikan dapat diteruskan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga penuh yakin pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan semua sekolah sentiasa bersiap siaga, dalam memastikan proses pendidikan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Baginda turut menyeru semua pihak khususnya pelajar dan ibu bapa agar sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha yang sedang dan bakal dilaksanakan dalam melestarikan pendidikan di negeri ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button