Politik

PN perlu utamakan kestabilan politik

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu mengutamakan kestabilan politik dan suara rakyat yang semuanya berhadapan dengan tekanan akibat kemeruduman ekonomi negara.

PN tidak boleh memikirkan cara untuk kekal berkuasa atau mengutamakan kepentingan politik mereka semata-mata terhadap Belanjawan 2021.

Kerajaan perlu meneliti semula titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang menyeru kestabilan politik dan sokongan terhadap Belanjawan 2021.

Dari sudut itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menunaikan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen daripada parti-parti lain.

Itu yang perlu dimasukkan dalam Belanjawan 2021 bagi mendapat sokongan semua Ahli Parlimen menjelang pengundian bajet tersebut yang dijangkakan esok.


“Jadi, usul parti politik ini adalah menjadi keutamaan untuk Perdana Menteri untuk mengambil kira berkenaan dengan apakah yang dibangkitkan oleh parti politik.

“Sebab sokongan ini adalah parti politik juga, Muhyiddin tak boleh bertindak sebagai Perdana Menteri yang membelakangkan Ahli Parlimen.

“Jadi, jika ada permintaan daripada contoh, UMNO meminta melanjutkan moratorium pinjaman, justeru Muhyiddin perlu mendengar juga sebab ia usul dasar parti.

“Contoh, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula dalam bajet mereka katakan ada keperluan dekat Sarawak menambah apa yang perlu. Itu adalah keputusan dasar parti.

“Jadi, Muhyiddin dan kabinet beliau, kena fikirkan bagaimana untuk melayani kehendak keputusan parti.

“Dia tidak boleh buat hanya bertindak mengikut kabinet sahaja. Beliau kena ambil kira juga berkenaan dengan permintaan-permintaan parti.”

Demikian kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini mengulas kedudukan kerajaan PN menjelang pengundian Belanjawan 2021.

PN adalah sokongan parti-parti politik

Katanya, Muhyiddin perlu menyedari hakikat pembentukan kerajaannya adalah atas dasar sokongan parti-parti politik.

Mandat itu juga harus kekal sehingga beliau membubarkan Parlimen untuk mengembalikannya semula kepada rakyat bagi membuat pilihan.

Sementara itu, umum maklum PN tidak akan mentadbir negara sehingga akhir penggal, sebaliknya apabila keadaan suasana pandemik Koronavirus (Covid-19) kembali reda, pilihan raya perlu diadakan.

“Ada dua perkara saya hendak utarakan, yang pertama PN ini disokong oleh parti-parti komponen di dalamnya.

“Jadi, apabila sudah disokong oleh parti komponennya, atas dasar kepentingan rakyat, kita hendak mereka kekalkan mandat yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Untuk kekalkan mandat itu sehinggalah kerajaan ini dibubarkan oleh Perdana Menteri.

“Dari segi asasnya, kita semua kena sokonglah apa sahaja komponen-komponen di dalam itu (PN),” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan PN supaya mendengar suara rakyat berhubung isu permintaan Barisan Nasional (BN) berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium pinjaman.

Pemimpin tempat rakyat mengadu

Pemimpin merupakan tempat rakyat mengadu sekarang berikutan tekanan yang dialami mereka termasuklah dibuang kerja dan sebagainya.

“Saya mendesak, pemimpin-pemimpin tak kiralah siapa pun mereka kena faham bagaimana untuk merasai denyut nadi rakyat yang payah, susah, tak ada kerja hari ini.

“Jangan disebabkan mereka yang menjadi Ahli Parlimen memegang amanah rakyat mengkhianati mereka yang memang perlukan perhatian daripada Ahli Parlimen.

“Itu sebab semua pihak hari ini kena utamakan kepentingan rakyat, contoh rakyat perlukan moratorium tanpa bersyarat dan Kementerian Kewangan mesti mengkaji bagaimana membantu rakyat dari segi moratorium.

“Ada orang yang merasakan kalau kita buat moratorium automatik, businessman tokoh korporat pun dapat.

“Tetapi, perlulah kaji katalah keperluan rakyat yang lebih memerlukan adalah mempunyai pinjaman contoh RM2 juta ke bawah.

“Buatlah (moratorium) semua yang mempunyai pinjaman RM2 juta ke bawah secara automatik.

“Sebab mereka sekarang sudah terkesan, ada juga orang yang bergaji RM10,000 hari ini pun pergi bawa e-hailing.

“Jadi, ada keperluan kita membuat moratorium ini secara automatik, kalau bersasarpun mesti menyenangkan, bukan menyusahkan rakyat.

“Kedua, KWSP saya pernah beri kenyataan berkaitan dengan one-off, jadi ia diperlukan.

“Tetapi apapun sebenarnya, perkara ini perlu dibincangkan dan bajet ini kalau tidak lulus ia akan mengkhianati rakyat punya kemahuan,” tegasnya. – SM

(Visited 80 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button